TheMalaysiaTime

RM2.8 juta fi kenalkan Bung, kata Zizie

2026-03-05 - 08:04

Zizie Izette Abdul Samad didakwa bersubahat dengan suaminya, Bung Moktar Radin terima rasuah RM2.8 juta sebagai balasan dapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan unit amanah bernilai RM150 juta pada 2015. KUALA LUMPUR: Balu bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen, dia dibayar RM2.8 juta kerana ‘memperkenalkan’ suaminya kepada tawaran pelaburan unit amanah. Zizie Izette Abdul Samad berkata, pada mulanya dia terkejut apabila ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar memberitahunya melalui panggilan telefon pada 11 Jun 2015 bahawa dia akan menerima jumlah tersebut sebagai ‘fi pengenalan’. “Saya beritahu dia saya tidak buat apa-apa pun. Bagaimanapun, Norhaili berkata, sudah menjadi amalan biasa dan strategi pemasaran agensinya untuk membayar fi pengenalan sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka,” kata Zizie dalam pernyataan saksinya. Ketika memberi keterangan membela diri, Zizie berkata, dia bertemu Norhaili dan seorang lagi ejen, Madhi Abdul Hamid, di cawangan Public Bank Taman Melawati pada keesokan harinya. “Mereka memaklumkan bahawa Public Mutual akan membayar saya RM2.8 juta,” katanya. Menurut Zizie, Norhaili memberitahunya bahawa RM2.2 juta akan dibayar secara tunai, manakala baki RM600,000 akan dilaburkan ke dalam produk unit amanah Public Mutual, memandangkan dia sudahpun melabur di firma tersebut. “Kemudian, mereka memaklumkan bahawa mereka telah melaburkan RM262,500 ke dalam Akaun Public Islamic Treasures Growth Fund dan RM337,500 ke dalam Akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama saya,” katanya. Zizie berkata, dia tidak memaklumkan kepada Bung mengenai wang tersebut kerana mereka telah bersetuju untuk menguruskan urusan perniagaan dan pelaburan masing-masing secara berasingan. “Memandangkan bayaran pengenalan itu berkaitan dengan urusan peribadi saya, saya rasa tidak perlu untuk maklumkan (kepada Bung)” katanya. Zizie menolak dakwaan bahawa wang itu bayaran rasuah yang diterimanya bagi pihak Bung, dan menafikan pernah menerima apa-apa wang, termasuk RM2.8 juta tersebut, bagi pihak suaminya. “Saya juga tidak pernah dalam apa jua cara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, bersubahat, mendorong atau menggalakkan Bung mendapatkan kelulusan daripada Felcra Bhd atau Kementerian Kewangan untuk membuat pelaburan dalam produk unit amanah,” tambahnya. Zizie berkata, dia memperkenalkan Norhaili dan Madhi kepada Bung sekitar akhir 2013 hingga awal 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kerana sebagai ahli politik, ramai orang mahu bertemunya. Bung, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan dan ketua Umno Sabah, didakwa pada 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan RM150 juta bagi Felcra melabur dalam unit amanah Public Mutual. Beliau dituduh menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati pada 12 Jun dan 19 Jun 2015. Beliau juga didakwa memperoleh wang tunai RM337,500 secara rasuah daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama Zizie, untuk tujuan sama. Pada September tahun lepas, Bung tampil memberi keterangan untuk membela diri. Bagaimanapun, pada Januari, pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadapnya susulan kematiannya sebulan sebelum itu. Zizie dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana bersubahat dengan Bung berhubung kesalahan didakwa. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda jumlah suapan. Perbicaraan di hadapan hakim perbicaraan Rosli Ahmad diteruskan.

Share this post: