RM14 juta tunggakan sewa, RM12 juta bil air di 51 PA, PPR
2026-03-16 - 05:34
Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkata tidak adil bagi individu mahu menghuni PA dan PPR apabila ada penghuni tidak menjelaskan tunggakan mereka sedangkan kadar sewa hanya RM124 sebulan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Semua 51 perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur merekodkan RM14 juta tunggakan sewa dan RM12 juta tunggakan bil air, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. Menurutnya, pelbagai usaha dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan keperluan asas penghuni di PA dan PPR terjamin. “Sebelum ini, jalan di sekitar PA dan PPR hanya ditampal. Namun kini, DBKL sudah laksanakan inisiatif menurap sepenuhnya jalan bagi keselesaan penghuni. “Diharap selepas pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh DBKL, penghuni akan menjelaskan tunggakan sewa dan air,” katanya pada sidang media berhubung projek penyelenggaraan PA dan PPR di PA Hang Tuah, Kuala Lumpur. Yeoh berkata, terdapat senarai panjang individu mahu menghuni PA dan PPR di ibu kota. “...tidak adil bagi mereka apabila ada penghuni yang menikmati kemudahan ini, tetapi tidak menjelaskan tunggakan mereka sedangkan kadar sewa rendah, iaitu RM124 sebulan.”