TheMalaysiaTime

Restoran terkenal P Pinang dinilai ‘memuaskan’ selepas aduan kebersihan

2026-03-26 - 10:21

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memeriksa premis itu pada 16 Mac lalu selepas menerima aduan penemuan kaki lipas dalam hidangan. (Gambar Facebook Kumaresan Aramugam) PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengesahkan tahap kebersihan sebuah premis kedai makan terkenal di negeri itu sebagai ‘memuaskan’ susulan siasatan dakwaan penemuan kaki lipas di dalam hidangan di restoran tersebut. Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, berkata pemeriksaan telah dijalankan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut pada 16 Mac lalu, selepas menerima aduan. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah menjalankan tindakan penambahbaikan, namun masih ada beberapa aspek perlu diperbaiki. “Sehubungan itu, arahan pembetulan dan penambahbaikan telah dikeluarkan kepada pihak premis bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap kehendak Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, pengusaha premis turut diberikan pendidikan kesihatan meliputi amalan kebersihan, pengendalian makanan selamat serta pematuhan kepada peruntukan undang-undang. “Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan makanan di negeri Pulau Pinang berada pada tahap yang tinggi. “Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi melindungi kesihatan pengguna,” katanya. Terdahulu, Adun Batu Uban A Kumaresan menyuarakan rasa kesal kerana tiada tindakan diambil ke atas sebuah kedai makan terkenal di Pulau Pinang susulan dakwaan penemuan kaki lipas di dalam hidangan di restoran tersebut. Menurutnya, kaki lipas itu ditemui kakitangannya dan aduan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa kesihatan serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Share this post: