TheMalaysiaTime

Reset tak boleh separuh masak, kata Saifuddin berkait 2 RUU

2026-03-06 - 02:03

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata reformasi separuh masak tanpa kawalan tambahan boleh menjadikan perdana menteri, peguam negara dan pendakwa raya terlalu berkuasa. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata faktor utama dua rang undang-undang (RUU) utama yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini gagal mendapat kelulusan dan perlu dirujuk Jawatankuasa Pilihan Khas kerana ia separuh masak. Ia membabitkan RUU mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun serta RUU pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya. Saifuddin berkata, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri semata-mata tidak mencukupi tanpa reformasi menyeluruh kerana masalah sebenar ialah pemusatan kuasa, salah guna kuasa dan rasuah. “Contoh negara yang mengehadkan tempoh presiden dijadikan rujukan kerajaan, tetapi pembangkang berhujah model tersebut tidak sesuai kerana sistem politik Malaysia berbeza. Perdana menteri bukan ketua negara, malah berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. “Terdapat negara yang mengehadkan tempoh presiden lebih mundur daripada negara yang tidak mengehadkannya. Maknanya, model ikutan kerajaan tidak tepat,” katanya dalam kenyataan. Jelasnya, tujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri sepatutnya untuk membina budaya politik baharu yang bersih, jadi RUU itu juga perlu disertakan larangan perdana menteri dilantik menteri kewangan dan ahli keluarganya tidak boleh memegang jawatan penting dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). “Kerana perdana menteri tidak beroperasi dalam hampagas. Ia beroperasi dalam budaya politik. Budaya politik mesti mengawal perlakuannya, tidak kira tempoh jawatannya dihadkan atau tidak.” Pada 2 Mac lalu, RUU mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun hanya mendapat sokongan 146 Ahli Parlimen, gagal mendapat undian dua pertiga bagi bacaan kali kedua. Keesokannya, Dewan Rakyat meluluskan usul supaya RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya dirujuk Jawatankuasa Pilihan Khas, yang akan meneliti mekanisme akauntabiliti serta mencadangkan pindaan difikirkan perlu dalam tempoh tiga bulan. Saifuddin berkata, RUU pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya tidak menjawab persoalan akauntabiliti, selain dua jawatan itu terlalu berkuasa. Justeru, beliau menyarankan peguam negara dan pendakwa raya bertanggungjawab kepada Parlimen, dengan proses pelantikan pendakwa raya perlu melalui jawatankuasa Parlimen. Untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, Saifuddin mengesyorkan kaedah pentafsiran undang-undang dan terbuka untuk semakan kehakiman. Beliau berpendapat dua RUU itu boleh mengundang akibat tidak dijangka kerana reformasi separuh masak tanpa kawalan tambahan boleh menjadikan perdana menteri, peguam negara dan pendakwa raya terlalu berkuasa. Tegasnya, reset tidak boleh separuh masak, tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh dan mendalam.

Share this post: