‘Reset’ bukan sekadar politik, tetapi ‘perjalanan moral’, kata Saifuddin
2026-03-27 - 02:21
Hamzah Zainudin melancarkan ‘Reset’ pada 14 Feb lalu yang menjadi sebahagian gagasan konsensus nasional baharu bagi menyusun semula landskap politik dan pentadbiran negara. PETALING JAYA: Gerakan ‘Reset’ yang digagaskan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin disifatkan sebagai perjalanan moral yang melangkaui kepentingan politik sempit, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah. Beliau berkata wacana ‘Reset’ menghimpunkan hujah berasaskan dalil naqli dan aqli (agama dan rasional) yang menekankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran, selain membina semula negara dengan nilai integriti dan tadbir urus yang baik. Saifuddin turut menekankan gerakan itu bersifat menyeluruh untuk memperbaiki institusi, sistem dan undang-undang selain memperbetulkan konfigurasi serta membangun politik baharu iaitu demokrasi Malaysia matang, stabil, pelbagai kaum serta moderat. “Seruan ‘Reset’ perlu dilihat sebagai usaha membina bangsa dan negara secara holistik, bukan sekadar memenuhi tuntutan kelangsungan politik,” tulisnya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian. Saifuddin Abdullah. Saifuddin berkata pendekatan itu juga selari dengan prinsip maqasid yang menekankan manfaat besar berbanding kepentingan jangka pendek, termasuk membentuk kepimpinan berintegriti, amanah dan berkeupayaan. Menurut bekas menteri itu, ‘Reset’ turut membawa aspirasi membina demokrasi Malaysia yang lebih matang, stabil, sederhana dan inklusif, selain mengutamakan kepentingan negara mengatasi parti dan individu. Pada 14 Feb lalu, Hamzah melancarkan gerakan ‘Reset’ sehari selepas dipecat daripada Bersatu, dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada gagasan konsensus nasional baharu bagi menyusun semula landskap politik dan pentadbiran negara. Ahli Parlimen Larut yang juga bekas timbalan presiden Bersatu itu dipecat susulan krisis dalaman yang menyaksikan wujud gesaan supaya Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan. Saifuddin yang turut dipecat Bersatu berkata walaupun gerakan itu berdepan kritikan, penentangan yang timbul tidak disertakan hujah substantif, sebaliknya lebih kepada serangan peribadi, ugutan dan tohmahan. “Ini termasuk pembohongan, pemecatan dan pembunuhan karakter, tanpa menjawab asas-asas yang dibawa oleh Reset,” katanya. Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pandangan sesetengah pihak yang memperkecilkan kepentingan moral sebagai asas kelayakan kepimpinan. Sehubungan itu, Saifuddin mengajak merenung ayat 179 surah Al-Araf yang mana mereka yang gagal menggunakan hati, telinga dan mata untuk memahami kebesaran Allah dianggap lalai. “Pokoknya, ‘Reset’ adalah satu perjalanan moral, bukannya ‘amoral’ atau ‘immoral’,” katanya.