TheMalaysiaTime

Rempuh kenderaan di lampu isyarat, polis buru 2 suspek larikan diri

2026-02-28 - 04:53

Tangkap layar rakaman tular pemandu Honda Civic merempuh beberapa kenderaan di lampu isyarat berhampiran Sunway Velocity Mall, semalam. PETALING JAYA: Seorang pemandu sebuah Honda Civic bertindak merempuh beberapa kenderaan yang berhenti di lampu isyarat ketika cuba melarikan diri daripada polis, dalam kejadian berhampiran Sunway Velocity Mall, semalam. Ketua Polis Wangsa Maju, Mohamad Lazim Ismail, berkata polis sebelum itu membuat rondaan pada 10.30 pagi sebelum mengesan kereta terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Nicholas. Katanya, ketika dihampiri, pemandu bagaimanapun secara tiba-tiba memecut laju sehingga ke persimpangan lampu isyarat berkenaan. “Suspek telah bertindak melanggar beberapa buah kenderaan yang berhenti untuk menunggu lampu isyarat. “Suspek dipercayai dua lelaki kemudiannya keluar dan melarikan diri meninggalkan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan itu tidak menemui sebarang barangan salah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan. “Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pula membuka siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Polis kini giat mengesan suspek dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Share this post: