Reman pelajar disyaki pijak al-Quran disambung 3 hari
2026-02-28 - 09:23
Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah berkata lanjutan reman lelaki 21 tahun itu susulan arahan timbalan pendakwa raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. (Gambar Facebook) KUANTAN: Reman seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang disyaki memuat naik dan menyebarkan kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) menerusi media sosial disambung tiga hari lagi. Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata tempoh reman lelaki 21 tahun itu yang tamat hari ini disambung hingga 3 Mac ini susulan arahan timbalan pendakwa raya (TPR) supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. “Polis turut merampas senaskah al-Quran yang dipercayai digunakan pelajar itu,” katanya ketika dihubungi. Semalam, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman dilaporkan berkata, pihaknya telah merujuk kertas siasatan kes itu kepada TPR. Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Sehingga semalam, polis menerima 28 laporan di seluruh negara berhubung kes berkenaan. Pada 25 Feb lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. Gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu kemudian tular di media sosial.