TheMalaysiaTime

Remaja tunggang motosikal ke Cameron Highlands gagal dikesan

2026-03-08 - 10:03

Polis sedang giat kesan keberadaan Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highland pada Jumaat lepas. Ketua Polis Besut Supt Rozaime Ab Rahim berkata, hasil pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, kali terakhir dilihat singgah di sebuah stesen minyak di Beting Lintang, Jerteh pada awal pagi Jumaat, sebelum gagal dikesan hingga hari ini. “Polis sedang giat mengesan keberadaan mangsa dan kertas siasatan orang hilang telah dibuka selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa pada petang Jumaat. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi IPD Besut atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya, lapor Bernama. Sementara itu, bapa mangsa Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata, anaknya gagal dikesan ketika mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis. Ahmad Azhar berkata, beliau bersama ahli keluarga lain menaiki kereta, manakala anaknya menunggang motosikal jenis Yamaha R15. “Kali terakhir saya dan keluarga bertemu Ahmad Azreeq Zafreen ketika kami sama-sama berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu dan kemudian saya bergerak dahulu di hadapan untuk meneruskan perjalanan. “Pada 12.30 tengah malam kami singgah untuk makan di Kampung Anak Ikan Besut dan menghubungi dia agar berhenti di kedai makan sama namun hingga sekarang gagal dihubungi,” katanya.

Share this post: