Remaja maut terkena sabit, buruh ladang didakwa sebabkan kematian
2026-03-18 - 08:11
Warga Indonesia Sutiyono, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas dua tuduhan hari ini, namun tiada pengakuan direkodkan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Teluk Intan hari ini kerana menyebabkan kematian seorang pelajar kolej vokasional akibat terkena sabit minggu lepas. Tertuduh, Sutiyono, 39, didakwa menunggang kenderaan sebuah motosikal Honda EX5 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, yang semasa kejadian menunggang motosikal Honda Vario 150cc. Kesalahan itu dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak dalam daerah Hilir Perak kira-kira pukul 8.10 pagi, pada 9 Mac lepas, lapor Kosmo. Warga Indonesia itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan. Sutiyono juga berdepan tuduhan menunggang motosikal yang sama secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 17, pada tarikh, masa dan lokasi sama, mengikut Seksyen 42(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun serta didenda antara RM5,000 hingga RM15,000. Sutiyono mengangguk faham selepas kedua-dua tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh mempunyai masalah pendengaran. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi mencadangkan jaminan RM8,000 untuk kedua-dua tuduhan selain meminta agar lesen memandu tertuduh dirampas sehingga kes selesai. Bagaimanapun, peguam Francis Sinnappan yang mewakili tertuduh secara pro bono memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor pekerjaan tertuduh selain dia menanggung keluarga termasuk seorang anak di Indonesia. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, salah seorangnya majikan tertuduh. Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 April depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat serta lantikan jurubahasa. Dilaporkan sebelum ini, seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan maut selepas sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa suspek terkena pada leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berselisih di atas jalan raya. Setelah terkena sabit, mangsa terjatuh dari motosikal dan maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera di tangan.