TheMalaysiaTime

Remaja kedua ditemui lemas di air terjun Sarawak

2026-03-22 - 00:40

Mayat mangsa dibawa naik ke tebing oleh penduduk dengan bantuan pasukan bomba malam tadi. (Gambar JBPM) SIBU: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakannya di kawasan air terjun Sungai Plan Lot, Jalan Permata, Kidurong, Bintulu, petang semalam ditemui lemas. Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan mayat Darren Dakun Paruscrum, 12, ditemui orang awam pada 11.19 malam tadi, kira-kira 5m dari tebing sungai. “Selepas menerima panggilan pada 11.20 malam daripada orang awam mengenai penemuan itu, bomba bergegas ke lokasi kejadian. Mayat dibawa naik ke tebing oleh penduduk dengan bantuan pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, susulan penemuan itu serta hasil perbincangan dengan agensi terlibat di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan 12.33 tengah malam tadi. Pada 2 petang semalam, empat remaja berusia 12 hingga 14 tahun bermandi di lokasi berkenaan, tetapi dua daripadanya dipercayai hilang selepas kali terakhir dilihat pada 2.30 petang. Mangsa pertama, Tristan Mariss Marissa Erna, 12, ditemui lemas oleh pasukan SAR pada 5.20 petang, kira-kira 5m dari tebing pada kedalaman 9m, sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Share this post: