Remaja hilang dalam perjalanan ke Cameron Highlands ditemu maut
2026-03-08 - 13:53
Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, dilapor hilang oleh ahli keluarga sejak awal pagi Jumaat lalu. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Misteri kehilangan remaja lelaki yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands sejak awal pagi Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila ditemukan meninggal dunia dalam semak, di tepi jalan Kampung Bukit Jeruk, di Kampung Beting Lintang, Jertih. Ketua Polis Besut Rozaime Ab Rahim, berkata penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal di lokasi terbabit oleh orang awam pada 6.40 petang tadi. “Setakat ini polis percaya mayat yang ditemui itu adalah Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang dilaporkan hilang sejak awal pagi Jumaat lepas oleh keluarganya. “Mangsa dipercayai telah meninggal dunia pada malam dia tidak dapat dihubungi pada awal pagi Jumaat selepas motosikal Yamaha R15 yang ditunggangnya dipercayai terbabas,” katanya kepada Bernama. Rozaime berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk pengecaman waris dan bedah siasat. Media melaporkan kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen berlaku ketika dia bersama keluarganya dari Kampung Batin, Seberang Takir, dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands pada Khamis lalu. Dalam perjalanan itu, Ahmad Azreeq Zafreen menunggang motosikal jenis Yamaha R15, manakala ibu bapanya bersama ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta. Kali terakhir mangsa dikesan berdasarkan rakaman video litar tertutup (CCTV) berada di sebuah stesen minyak di Kampung Beting Lintang di sini pada 1.38 pagi, Jumaat lalu.