TheMalaysiaTime

Remaja bawah umur ditahan Sosma kena layanan menjatuhkan maruah, dakwa peguam

2026-03-16 - 08:34

​(Dari kiri) Wong Kueng Hui daripada Mandiri, T Shashi Devan, Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron, Farida Mohammad, dan Penasihat Suaram Sevan. PETALING JAYA: Seorang peguam mendakwa seorang remaja bawah umur dikenakan layanan yang menjatuhkan maruah semasa ditahan selama 28 hari bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma. Farida Mohammad, yang mewakili remaja tersebut, berkata anak guamnya dan dua individu lain ditahan pada 15 Feb dan ditahan selama 28 hari sebelum dibebaskan pada 13 Mac. Beliau berkata menurut tahanan dan ahli keluarganya, ketiga-tiga mereka berhadapan soal siasat secara ‘berterusan’ setiap hari. “Mereka juga ditempatkan di dalam sel di mana lampu dibiarkan menyala selama 24 jam, mengganggu tidur mereka dan berpotensi menjejaskan kesihatan mereka,” katanya pada sidang media di pejabat Suaram. Farida turut mendakwa anak guamnya dipaksa berbogel serta melakukan tekan tubi dan lompat bintang, menyifatkan perkara itu sebagai mengejutkan dan menjijikkan. FMT sedang mendapatkan kenyataan Bukit Aman. Farida menegaskan bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya ditahan bawah Sosma kerana mereka antara golongan yang paling terdedah kepada penyalahgunaan undang-undang. Kumpulan hak asasi serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam) berulang kali mengecam penahanan kanak-kanak bawah umur, dengan menyatakan bahawa ini melanggar Akta Kanak-kanak dan peruntukan Sosma yang membenarkan kanak-kanak yang ditahan bawah undang-undang tersebut dibebaskan dengan ikat jamin. Seksyen 13(1) Sosma menyatakan ikat jamin tidak boleh diberikan kepada mereka yang dituduh dengan kesalahan keselamatan. Bagaimanapun, kanak-kanak bawah umur, wanita, dan orang sakit boleh dibebaskan dengan ikat jamin. T Shashi Devan, peguam yang mewakili seorang lagi remaja bawah umur, berkata beliau menerima maklumat yang boleh dipercayai bahawa kanak-kanak terbabit digari berulang kali pada masa yang berbeza sepanjang siasatan dijalankan. Jika benar, kata Shashi, ini satu pelanggaran undang-undang dan prosedur tetap bagi mengendalikan tahanan bawah umur, sama ada semasa tangkapan mahupun sepanjang tempoh penahanan. Penasihat Suaram, Sevan Doraisamy, mengkritik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berhubung isu ini, dengan mendakwa Saifuddin kurang kawalan ke atas polis dan gagal menghalang penyalahgunaan Sosma. Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan dan mengenakan moratorium terhadap penggunaan Sosma sehingga pindaan dibuat bagi memperkenalkan pengawasan kehakiman dan perlindungan.

Share this post: