Rekod baik, hubungan Istana perkukuh peluang Onn Hafiz jadi poster boy MB
2026-03-16 - 23:14
Onn Hafiz Ghazi dipilih sebagai menteri besar oleh Istana Johor pada Mac 2022 walaupun BN mencalonkan individu lain. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi, berpotensi besar dikekalkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon menteri besar pada PRN akan datang, kata penganalisis. Hisommudin Bakar berpendapat Onn Hafiz wajar dikekalkan kerana rekod baik tanpa dibayangi kontroversi sepanjang menjadi menteri besar sejak 15 Mac 2022, manakala Azmi Hassan pula menekankan hubungan baik dengan istana sebagai kelebihan. Menurut Hisommudin, pengalaman pasca PRN Johor 2022 wajar membuatkan BN lebih cermat kerana walaupun parti boleh mengemukakan calon tetapi akhirnya tertakluk pada prerogatif dan perkenan Sultan Johor. Beliau merujuk pemilihan Onn Hafiz sebagai menteri besar walaupun BN mengumumkan Hasni Mohamad — ‘poster boy’ gabungan itu ketika pilihan raya. Pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata langkah politik lebih cermat ialah memastikan calon diangkat sebagai poster boy dalam lingkungan tokoh yang mendapat kepercayaan rakyat dan keserasian dengan istana. Dalam pada itu, Hisommudin berkata Onn Hafiz individu sesuai dipertaruhkan BN berdasarkan kemampuannya mentadbir dengan baik pada usia muda. “Beliau juga telah melalui ujian pentadbiran agak mencabar, memandangkan Johor satu-satunya negeri ditadbir tanpa struktur kerajaan perpaduan dan tanpa penyertaan wakil Pakatan Harapan (PH). “Dari sudut persepsi pengundi Johor, kriteria seorang menteri besar yang diyakini biasanya merangkumi beberapa ciri utama: kepimpinan stabil, keupayaan mengurus ekonomi negeri dengan berkesan, hubungan yang baik dengan institusi diraja, serta kemampuan membawa pelaburan dan pembangunan kepada Johor. “Jika BN berjaya mengekalkan naratif pentadbiran semasa memenuhi ciri-ciri itu, Onn Hafiz berpotensi kekal sebagai aset politik penting dalam menarik sokongan pengundi atas pagar,” katanya kepada FMT. Azmi dari Akademi Nusantara berkata rakyat Johor dilihat berpuas hati dengan prestasi Onn Hafiz, dan mengambil maklum hubungan rapat beliau dengan Istana Johor. “Bagi memastikan semua pihak berada pada pendirian sama, BN sepatutnya menampilkan menteri besar sedia ada sebagai tokoh utama mereka,” katanya. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata sifat Onn Hafiz yang agak terbuka dalam situasi politik semasa memudahkan beliau dterima pelbagai pihak. “Beliau juga mempunyai latar belakang dari keluarga yang agak berpengaruh iaitu legasi Onn Jaafar dan Hussein Onn. “Jadi beliau ada latar belakang keluarga berpengaruh, pendidikan dan pembawaan politik baik... ia mungkin dapat membantu menarik sokongan atas pagar serta orang muda,” katanya.