Rayer gesa tindakan terhadap Tamim Dahri
2026-03-12 - 04:54
RSN Rayer berkata banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Tamim Dahri Abdul Razak. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mempersoalkan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai tindakan yang diambil terhadap seorang aktivis yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu. Ahli Parlimen DAP itu berkata banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, yang tular empat hari lalu selepas memijak ‘soolam’ (trishul atau tombak tiga mata) ketika berada di Langkawi. Rayer berkata minggu lalu seorang pelajar universiti ditahan dan didakwa dengan pantas kerana didakwa menghina al-Quran. Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang kelewatan menahan atau mendakwa Tamim boleh dianggap sebagai layanan tidak adil atau ‘double standard’. “Ketua polis negara dan menteri dalam negeri perlu menjelaskan apakah tindakan yang telah diambil setakat ini. Mengapa masih berlaku kelewatan?” katanya dalam kenyataan. Beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan mesti melindungi serta memelihara kesucian semua agama. Tamim, yang sebelum ini aktif mengetuai kempen terhadap kuil Hindu yang didakwa dibina secara tidak sah, berkata beliau tidak menyedari objek dipijaknya itu merupakan soolam, sebaliknya menyangka ia hanya besi berkarat. Menurutnya, beberapa hari lalu beliau berada di Langkawi untuk berehat bagi mengurangkan tekanan kerja. Ketika memberi makan kepada sekumpulan monyet liar berhampiran sebuah gua, beliau ternampak sebatang besi tajam. Tamim berkata tidak terlintas di fikirannya bahawa objek itu adalah simbol keagamaan kerana kawasan tersebut bukan tempat ibadat. Bagaimanapun, aktivis masyarakat India Umagandhan Krishnan menolak penjelasan itu dan berkata soolam tersebut sebenarnya milik Kuil Langkawi Shree Muniswarar Alayam. Menurut laporan Malaysiakini, Umagandhan berkata simbol itu merupakan sebahagian daripada kuil berkenaan yang didakwa terletak di atas tanah persendirian milik sebuah syarikat automotif dengan kebenaran pemiliknya. Beliau juga berkata terdapat papan tanda besar di kawasan tersebut yang menyatakan ia adalah tanah kuil.