TheMalaysiaTime

Raya yang tak syok

2026-03-24 - 01:10

Bukan semua orang seronok menyambut hari raya walaupun perayaan 1 Syawal sering dibingkaikan sebagai detik paling manis penuh kemaafan, keikhlasan, kerukunan kekeluargaan dan rasa kesyukuran. Di sebalik kemeriahan itu ada insan menyimpan rasa berat, malah ada yang pernah terdetik, kalau boleh, biarlah hari raya itu tak ada. Saya juga pernah mengalaminya juga. Mengapa? “Bukan soal ibadah 1 Syawal itu. Hari raya itu sendiri tak ada masalah, malah aku mampu menyediakan segala persiapan untuk anak, isteri dan keluarga. Tetapi cara merayakannya dalam keluarga yang buat aku tak suka,” rungut seorang kawan baya-baya saya. Dia menyampah dengan budaya bersembang yang bertukar menjadi medan perbandingan siapa lebih berjaya, anak siapa lebih ‘menjadi’ atau siapa pula yang dipandang rendah. Apa yang sepatutnya mengeratkan silaturahim, akhirnya menjadi medan laga meninggi diri dan memperlekehkan yang lain. Tidak ada langsung sembang berilmu, katanya. Namun begitu, budaya balik kampung masih dianggap suatu kewajipan, kenalah juga balik selagi ibu bapa masih ada. Tidak pulang bererti mengundang kata-kata sinis. Maka terpaksalah dia pulang, menghadap semuanya dengan wajah yang dibuat-buat. Bersalam, memohon maaf zahir dan batin adakalanya hanya ritual tanpa roh kerana selepas itu, umpat dan sindir kembali berlegar di meja makan. Masing-masing dengan lagak masing-masing. Mak bapak pun ada yang pelik perangainya. Anak menantu yang berpangkat besar, bantal dan gebarnya istimewa. Kereta mereka duduk di garaj manakala anak menantu yang hidupnya sederhana dan punya kereta tak berapa mewah, tersudut di bawah pokok manggis. Dalam senyum maaf zahir dan batin, kasta dan pilih kasih tak mampu dikikis. Seorang lagi kawan, wanita berkerjaya profesional yang masih bujang berkongsi sisi berbeza. Baginya, raya bukan sekadar penat tetapi memualkan. Setiap kali Ramadan melabuhkan tirai, hatinya mulalah sebal memikirkan raya yang menjelang. “Tak pasal-pasal saya jadi babu di rumah,” katanya. “Kerja memasak, mengemas, menyediakan makanan dan buang sampah semuanya saya kena buat.” Dalam keluarganya, alasan menjaga batas aurat dengan ipar-duai menyebabkan abang atau kakaknya memilih untuk menyewa ‘homestay’ atau hotel berhampiran. Akibatnya, beban kerja di rumah jatuh sepenuhnya ke atas dirinya yang masih bujang. “Para agamawan sering menekankan soal batas pergaulan dan larangannya, rambut ipar perempuan haram dilihat, ipar lelaki nanti ternampak pula payudara kakak ipar yang sedang susukan anak; jadi tak elok duduk serumah waktu hari raya. Baiklah, tidaklah salah menginap tempat lain tetapi ustaz dan ustazah ini harus juga menekankan soal tanggungjawab dan adab agar anak yang baik tidak boleh juga mengambil kesempatan mementingkan diri sendiri di sebalik garis panduan tersebut.” “Mak ayah dah tua, saya seoranglah yang bertungkus-lumus siapkan rumah. Keluarga abang dan kakak pula hanya datang pagi raya, pakai cantik-cantik, makan lama-lama, lepas itu enak-enak saja pergi keluar beraya. Petang balik hotel. Macam itu ke?” rungutnya lagi. “Kalau buat kerja pun, setakat cuci pinggan keluarga sendiri. Ustaz dan ustazah patut kena sedarkan mereka yang bersikap pentingkan diri ini juga.” Seorang lagi kawan wanita, juga masih bujang dan tinggal bersama ibu bapa berdepan situasi yang lebih menyakitkan. Biliknya ‘dirampas’ oleh abang atau kakak yang pulang bersama keluarga. Dia kena tidur di atas sofa di ruang tamu. “Sesekali berkorbanlah,” usik saya. Dia ketawa, tetapi jelas geram. “Tak bolehkah berenggang sekejap dengan isteri? Ini bukan soal kedekut. Ini ‘common sense’. Saya tak kisah kakak ipar dan anak-anak saya tumpang bilik bersama saya, tapi bolehkah abang saya atau abang ipar saya tidur berasingan dengan bini sekejap? Tidurlah di ruang tamu. Tak kasihankah tengok saya kena tukar pakaian dalam bilik air, sedangkan dia boleh lepak berlama-lama dalam bilik?” Betul juga, dengus saya. Nampak macam ini bukan isu besar pada zahirnya. Tetapi dari sudut perasaan, beri kesan yang mendalam. Ia mencerminkan bagaimana perlunya pertimbangan akal dan empati. Kerana terlalu biasa dengan keselesaan kita kadangkala selamba tanpa rasa bersalah meminta pihak lain berkorban sedangkan kita sedikit pun tak mahu berundur. “Kadang-kadang bila raya datang, saya rasa nak pergi bercuti saja,” kata seorang lagi kawan. “Sekurang-kurangnya tak perlu hadap soalan ‘bila nak kahwin’ berulang-ulang. Lemas dengan manusia-manusia penyibuk ini.” Begitulah rungutan sebilangan kawan-kawan yang tertekan apabila berkumpul di hari raya. Ada juga tak suka dengan hari raya kerana suasana keluarga yang berubah akibat perceraian, canggung bergaul dengan keluarga tiri kerana tidak serasi lantaran latar yang berbeza. Itulah sebabnya hari raya, golongan sebegini gemar mencari kawan-kawan sahaja berbanding keluarga. Dari sudut pandang mata majoriti ternyata mereka inilah yang dilihat ‘jahat’ kerana tidak mahu beraya bersama walhal, mereka makan hati. Seperti saya kata di awal tadi, saya sendiri memahami sebahagian daripada dilema ini kerana saya juga pernah mengalaminya. Saya pernah ada dua anak yang dilahirkan kurang upaya. Memang tertekan setiap kali raya menjelang. Hendak balik kampung harus berdepan dengan cabaran yang berat. Risiko kesihatan anak terjejas akibat alahan bau ubat nyamuk atau penyembur serangga. Sama macam yang dialami oleh kawan-kawan tadi, bila dah ramai, siapa yang sampai awal akan ‘cop’ bilik tidur dulu. Tak semestinya kita yang ada anak istimewa ini diberikan keistimewaan tidur di dalam bilik. Bila berada di ruang tamu pada hari raya pertama terpaksalah pula berdepan dengan soalan-soalan tetamu yang duduk mengelilingi anak kami. Ada yang menasihatkan suruh pergi dukun itu dan bomoh ini, ada yang sarankan beli makanan itu dan ini seperti kami ini ibu ayah yang tak berbuat apa-apa selama ini. Ini semua membuat orang seperti kami rimas. Suasana yang menyeronokkan berkumpul ramai-ramai tidak sesuai dengan keadaan orang seperti kami. Tapi kalau tak balik, dijadikan bahan umpatan pula. Apabila kita menyebut ‘minal aidin wal faidzin’ kita sewajarnya sudah menghayati bahawa hari raya sepatutnya menjadi ruang untuk kembali kepada fitrah, menjadi lebih baik dengan hati penuh kasih dan ihsan. Maksudnya, kita seeloknya lebih peka terhadap orang lain juga. Dalam kita ghairah berkumpul, jangan kita lupa bahawa setiap ahli keluarga kita ada watak dan cerita mereka masing-masing. Alangkah baiknya kita kawal diri untuk tidak menyinggung pihak lain. Raya bukan sekadar tentang baju baharu, juadah melimpah atau gambar keluarga yang sempurna. Ia tentang rasa dihargai dan difahami tanpa kasta dan darjat. Minal aidin wal faidzin bukan sekadar ucapan. Ia adalah seruan. Tentang sungutan dan luahan kawan-kawan saya tadi, sewajarnya didengari oleh ahli keluarga yang lain jika mereka dapati apa yang dikatakan tadi berlaku kepada mereka. Tak usahlah tunggu teguran daripada ustaz dan ustazah barulah akal nak berjalan. Bukan apa, jika suatu hari ada ahli keluarga kita ini malas pulang beraya, ingatlah bahawa mereka menghilang kerana ingin memelihara hati mereka sendiri agar tidak terlanjur mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan pihak lain. Itulah tindakan yang paling baik bagi mereka. Mereka mahu semua keluarga bergembira dan tidak mahu kehadiran diri mereka pula akan membuat suasana kegembiraan para majoriti terpotong. Faham tak? Maaf zahir dan batin sekali lagi! Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: