TheMalaysiaTime

Raya pertama ‘pakcik air balang’ tanpa orang tersayang

2026-03-20 - 02:50

Ah Yauddin Ahmad masih rindu mengenang isterinya Roslina Yusuf yang dijemput illahi pada Oktober lalu. KLANG: Menghitung hari menuju Aidilfitri, Ah Yauddin Ahmad masih terkenang wajah Roslina Yusuf memilih pakaiannya, lima tahun lalu. Hari-hari pertama tanpa Roslina meremukkan hatinya, setiap saat mengingatkan Ah Yauddin akan kehilangannya. Sekembalinya dari berniaga, setiap anak tangga seakan menghimpit hati Ah Yauddin, langkahnya perlahan dan berat. Melangkah ke dalam rumah, Ah Yauddin hanya mampu memerhatikan setiap sudut tenggelam dalam memori isterinya, yang meninggal dunia tahun lalu. Raya tahun ini akan berlalu tanpa sebarang persiapan. “Tak ada apa yang meriah. Dulu, masa arwah ada walaupun sakit terlantar, tengok dia pun saya rasa kuat. Tetapi bila dia sudah tiada... semangat itu sudah tak sama,” katanya, yang berusaha meneruskan bicara. Roslina, 57, meninggal dunia pada Oktober, selepas lima tahun uzur lantaran angin ahmar dan diabetes, yang menyebabkan kaki kiri terpaksa dipotong. Wanita itu merupakan sumber kekuatan Ah Yauddin, 63, yang setiap minggu mengendong isterinya menuruni rumah pangsa empat tingkat, untuk dibawa bersama ke gerai air balang yang pernah mereka usahakan bersama. Ah Yauddin berkata beliau rasa resah selepas pemergian Roslina. “Ada masa saya jadi macam orang ketakutan. Otak banyak berfikir, teringat dia. Tengok rumah pun rasa takut kadang-kadang sampai ke jantung... rasa macam nak mati,” katanya. Kisah Ah Yauddin sekeluarga menyentuh hati orang ramai apabila ia tular di TikTok. Keluarganya menerima perhatian pelbagai pihak, termasuk pempengaruh dan Majlis Amanah Rakyat apabila kisahnya dilaporkan FMT dan media lain. Ah Yauddin dan Roslina mendirikan rumah tangga hampir 40 tahun, dan mereka dikurniakan seorang anak, Siti Nur Aliah. Di kala Ramadan, Ah Yauddin masih menjual minuman bersama anaknya. Raya tahun ini, Ah Yauddin hanya mahu menziarai pusara Roslina yang terletak tidak jauh dari rumah mereka di Pangsapuri Meru Ehsan. “Adik perempuan saya ada belikan baju raya untuk anak,” katanya. Susulan liputan media, Mara menawarkan pengajian percuma dalam bidang konfeksionari dan bakeri di GiatMara Klang kepada Nur Aliah. Nur Aliah, 22, bagaimanapun berhenti belajar untuk menjaga ibunya sebelum meninggal dunia. “Saya kerja dulu nak jaga ibu sakit dan tolong ayah meniaga,” katanya. Selain membantu ayah berniaga setiap Sabtu, Nur Aliah bekerja dengan ibu saudara menjual ayam goreng, dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan. Nur Aliah merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma, dan berharap dapat mengejar impian menjadi seorang guru.

Share this post: