Raya ‘kaw kaw’ di Genting Highlands tampil Care Bears, ganjaran eksklusif
2026-03-19 - 04:20
Resorts World Genting (RWG) menganjurkan kempen ‘Jom Raya Kaw Kaw’ dari 13 Mac hingga 12 April. (Gambar Resorts World Genting) PETALING JAYA: Resorts World Genting (RWG) mengangkat sambutan Hari Raya Aidilfitri ke tahap berbeza tahun ini menerusi kempen ‘Jom Raya Kaw Kaw’, menampilkan gabungan hiburan keluarga, ganjaran eksklusif serta sentuhan nostalgia dengan kehadiran Care Bears. Kempen dari 13 Mac hingga 12 April itu menjanjikan pengalaman perayaan penuh warna di puncak Genting Highlands, dengan fokus kepada nilai kebersamaan, kebaikan dan budaya memberi sempena Syawal. Tarikan utama tertumpu di Kimhua Atrium, yang dihiasi dekorasi ceria bertemakan Care Bears, menjadikannya lokasi tumpuan pengunjung pelbagai usia. Suasana ini dimeriahkan dengan sesi ‘meet and greet’ bersama watak popular seperti Cheer Bear dan Grumpy Bear pada hujung minggu terpilih sepanjang Mac. Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan barangan eksklusif Care Bears di kedai pop-up, termasuk koleksi edisi terhad yang sesuai dijadikan cenderahati perayaan. RWG turut memperkenalkan aktiviti interaktif “Spend and Participate”, di mana pengunjung boleh menyertai bengkel lukisan coaster Raya serta menikmati pengalaman photobooth digital bertemakan Care Bears dengan pembelian minimum tertentu. Dalam semangat berkongsi rezeki, kempen Kurma Sejuta Rasa’ menawarkan pek kurma percuma kepada pengunjung yang mengikuti platform media sosial rasmi SkyAvenue, tertakluk kepada ketersediaan harian. Program ganjaran “Syawal Redemption” pula memberi peluang kepada pengunjung menebus sampul Raya eksklusif, baucar beli-belah serta barangan edisi terhad seperti pin dan cawan, berdasarkan jumlah perbelanjaan. Sebagai sebahagian usaha tanggungjawab sosial korporat, RWG akan menganjurkan program khas pada 28 Mac dengan menjemput kanak-kanak kurang berkemampuan menikmati kemeriahan Aidilfitri melalui pelbagai aktiviti termasuk sesi bersama Care Bears. Tarikan utama tertumpu di Kimhua Atrium yang dihiasi dekorasi ceria bertemakan Care Bears, sesuai untuk pengunjung pelbagai usia. (Gambar Resorts World Genting) Di Pavilion Hall, pengunjung disambut dengan dekorasi karusel bertemakan bulan sabit dan bintang, lengkap dengan gerbang bercahaya serta pelita bersaiz besar, menjadikannya lokasi bergambar yang menarik sepanjang musim perayaan. Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk seni pasir dan gerai jualan bermusim, selain persembahan kebudayaan seperti dikir barat, wayang kulit dan tarian tradisional yang berlangsung setiap hari di SkyAvenue. Dari segi sajian, pengunjung boleh menikmati hidangan khas Raya seperti set ayam percik dan nasi minyak di Jom Makan SkyAvenue, serta pelbagai pilihan kerabu tradisional di Jom Makan Street Food dengan harga berpatutan. RWG juga menawarkan pengalaman unik seperti AI photobooth untuk potret keluarga Raya, selain menu fusion seperti spaghetti assam pedas dan ayam masak merah di restoran terpilih. Di Resorts World Awana, sambutan diteruskan menerusi “Riang Raya Kaw Kaw” dengan aktiviti budaya seperti permainan tradisional, batik dan kaligrafi Jawi, sesuai untuk seisi keluarga. Bagi mereka yang ingin bercuti, pakej “Cuti-Cuti Raya” ditawarkan dengan pelbagai pilihan penginapan termasuk suite, vila dan mansion, lengkap dengan pengalaman makan serta aktiviti santai. Menurut RWG, kempen ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi platform untuk menggabungkan tradisi, hiburan dan pengalaman moden dalam satu destinasi. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi rwgenting.com atau platform media sosial RWG.