TheMalaysiaTime

Rapid Rail dikompaun RM100,000 susulan pelanggaran jentera

2026-02-27 - 09:04

Keselamatan operasi pengangkutan awam darat tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan, tegas Apad susulan kompaun ke atas Rapid Rail. PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) mengenakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB), susulan pelanggaran jentera yang mengakibatkan satu kematian di Depoh Subang, dua tahun lalu. Dalam kejadian pada 12 Dis 2024, sebuah jentera ‘shunting’ dikendalikan RRSB gagal berfungsi dengan sempurna akibat ketidakpatuhan kepada garis panduan penyelenggaraan yang ditetapkan oleh pengilang peralatan tulen. Kegagalan sistem brek jentera berkenaan menyebabkan pelanggaran dengan jentera ‘Speeder 3’. Kemalangan tersebut mengakibatkan satu kematian dan tiga kecederaan kepada kakitangan RRSB, selain kerosakan serius terhadap jentera ‘grinder’, ‘Speeder 3’ dan ‘shunting’ dengan anggaran kerugian berjumlah RM574,550. “Siasatan mendapati RRSB selaku pengendali berlesen telah gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta Pengangkutan Awam Darat,” menurut kenyataan. Seksyen 101(10) akta sama menyatakan pihak yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Apad berkata tindakan penguatkuasaan ini peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan, serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terlibat. Keputusan untuk mengekalkan kompaun ini juga mengambil kira kepentingan awam dan prinsip kebertanggungjawaban, katanya. “Keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.

Share this post: