TheMalaysiaTime

Rangkaian besar seludup manusia tumpas, kata polis Austria

2026-03-10 - 23:54

Lebih 100,000 orang dipercayai diseludup antara musim luruh 2023 hingga Mei 2025 dari Turki ke Jerman melalui tenggara Eropah dan Austria. (Gambar EPA Images) VIENNA: Siasatan di seluruh Eropah membawa kepada pembongkaran satu rangkaian besar penyeludupan manusia dari Turki ke Jerman menerusi laluan Balkan tenggara, kata polis Austria pada Selasa. Menurutnya, lebih 100,000 orang dipercayai diseludup dari Turki ke Jerman melalui tenggara Eropah dan Austria antara musim luruh 2023 hingga Mei 2025. Katanya, penyeludup mengaut lebih €1 bilion. Jurucakap polis memberitahu AFP, lebih 130 individu ditahan sejak 2023, sebahagian besarnya di Austria, selain Croatia, Romania, Jerman dan negara lain. Enam suspek utama terdiri daripada lelaki berusia 25 hingga 50 tahun yang berasal dari Afghanistan, Syria dan Rusia, tetapi tinggal di Vienna serta Budapest, ditahan di Vienna sejak Mei lalu. Polis dalam kenyataan berkata, individu lain berusia 18 hingga 35 tahun yang berasal dari Moldova, Romania, Georgia dan Ukraine, turut ditahan. Rangkaian itu sering merekrut ahli melalui saluran media sosial. Pada 2023, polis dari wilayah Styria di Austria berhampiran sempadan Slovenia, menahan sebuah kenderaan membawa lapan warga Syria diseludup yang membawa kepada siasatan besar-besaran. Rangkaian berasal dari puak Syria itu dipercayai mempunyai beratus ahli di sepanjang laluan Balkan tenggara. Penyiasat menemui lima “sub-organisasi autonomi” beroperasi di sepanjang laluan itu, dengan setiap satu mempunyai sehingga 80 pemandu. Lebih 1,000 kenderaan yang digunakan untuk menyeludup manusia turut dikenal pasti. Negara Kesatuan Eropah dalam beberapa tahun ini memperketatkan kawalan sempadan bagi menghalang penyeludup membawa warga Syria dan negara lain ke Eropah.

Share this post: