Rancang serang balai polis, 6 remaja disyaki terbabit IS ditahan
2026-03-06 - 09:04
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini. KUALA LUMPUR: Enam lelaki tempatan berusia 16 hingga 21 tahun ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti kumpulan IS dalam operasi khas pada 14 hingga 15 Feb lalu. Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata operasi di beberapa negeri termasuk Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu hasil risikan serta perkongsian maklumat mengenai aktiviti radikal dalam talian. Katanya, tiga daripada suspek yang ditahan adalah bawah 18 tahun. “Siasatan mendapati mereka terbabit menyebarkan ideologi radikal, merekrut ahli baharu serta mempromosi propaganda IS melalui media sosial,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman. Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan penggeledahan polis merampas 11 telefon bimbit, dua komputer riba, satu cakera keras luaran, empat bendera IS, sehelai baju berlogo IS serta tiga buku berunsur ekstremis. Katanya, siasatan turut mendapati suspek dipercayai merancang serangan terhadap balai polis, fasiliti kerajaan dan kepentingan awam. Kes disiasat bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan dan semua suspek dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.