TheMalaysiaTime

Ramanan sumbang gaji, elaun hampir RM800,000 untuk Parlimen Sungai Buloh

2026-03-18 - 07:50

R Ramanan menyerahkan sumbangan kepada wakil masjid untuk mengimarahkan Ramadan. PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia R Ramanan telah menyumbangkan hampir RM800,000 daripada gaji dan elaun kepada masyarakat pelbagai kaum di Parlimen Sungai Buloh yang diwakilinya sejak Disember 2022. Ramanan berkata bagi tahun ini sahaja, sejumlah RM65,200 telah disalurkan kepada masjid, surau, tokong, kuil dan Gereja selain infaq Jumaat serta infaq khas sepanjang Ramadan. Menurut Ramanan, setiap sumbangan disalurkan bukan sekadar angka sebaliknya mencerminkan amanah dipikul sebagai wakil rakyat. “Ini bukan soal jumlah, tetapi soal tanggungjawab. R Ramanan menyantuni peniaga di bazar sempena Ramandan. “Apa dijanjikan sebelum ini perlu diterjemahkan melalui tindakan konsisten,” katanya dalam kenyataan sambil merujuk janjinya untuk mengembalikan keseluruhan pendapatan beliau kepada rakyat, tanpa mengira kaum dan agama pada PRU15. Dalam menyemarakkan lagi semangat Ramadan, sebanyak 10,000 agihan bubur lambuk turut dilaksanakan di seluruh Parlimen Sungai Buloh yang diperluas kepada program Ihya’ Ramadan. Program kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama agensi kerajaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM80,350 Ia merangkumi penyediaan juadah berbuka puasa, bantuan kepada golongan memerlukan serta inisiatif mendekati rakyat di peringkat akar umbi. Sempena Aidilfitri, naib presiden PKR itu menyumbangkan sebanyak 3,350 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membantu meringankan beban kos sara hidup serta persiapan perayaan.

Share this post: