Rakyat Terengganu diminta beradab, mesra terima lonjakan pelancong
2026-03-27 - 09:50
Kerajaan negeri akan terus memantau aspek perkhidmatan dan harga bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pilihan pelancong. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Rakyat Terengganu diseru terus mengekalkan sikap beradab susulan jangkaan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dari India, China dan negara Asean. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris, berkata situasi konflik yang berlarutan di Asia Barat ketika ini dilihat mengubah corak perjalanan global, sekali gus membuka peluang kepada negeri itu menarik lebih ramai pelancong asing. “Justeru, saya minta semua rakyat Terengganu beradab dan mesra menerima pelancong,” tulisnya di Facebook. Razali yang juga Adun Kijal turut menyeru peniaga termasuk pengusaha di Pasar Payang, penjual makanan, operator hotel, inap desa serta penyedia pakej aktiviti pelancongan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj melampau. Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau aspek perkhidmatan dan harga bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pilihan pelancong. “Kerajaan sentiasa memantau supaya Terengganu menjadi destinasi wajib singgah. Terengganu cantik, budaya menarik dan Insya-Allah rakyatnya baik-baik,” katanya.