Rakyat Malaysia didakwa di Sydney atas cubaan import dadah
2026-03-20 - 10:00
Pihak berkuasa Australia memaklumkan, seorang lelaki Malaysia berusia 66 tahun diminta jalani pemeriksaan sejurus tiba di Sydney, sebelum dadah ditemukan di dalam bagasinya. (Gambar Australian National Audit Office) SYDNEY: Polis Australia mendakwa seorang rakyat Malaysia atas cubaan mengimport metamphetamine yang ditemukan tersembunyi di dalam bagasi di Lapangan Terbang Sydney, lapor Xinhua. Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) memaklumkan, lelaki berusia 66 tahun itu diminta menjalani pemeriksaan bagasi sejurus tiba di Sydney melalui penerbangan dari Thailand pada Khamis. Pemeriksaan sinar-X ke atas beg pakaian lelaki itu mengenal pasti kejanggalan dan pemeriksaan susulan menemukan 10 botol yang dilabelkan sebagai serbuk wangian, namun sebaliknya mengandungi 5kg dadah. Dua telefon bimbit turut dirampas oleh penyiasat untuk pemeriksaan forensik. Lelaki itu kemudian ditahan dan didakwa atas satu tuduhan cuba mengimport kuantiti komersial dadah kawalan sempadan. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup. AFP dan ABF berkata, pihak pendakwaan akan berhujah di mahkamah bahawa lelaki itu memaklumkan kepada pegawai bahawa dia direkrut melalui media sosial dan dibayar untuk membawa beg pakaian itu dari Thailand ke Australia.