TheMalaysiaTime

Raja Puan Muda Perlis berkenan rasmi program Tadabbur dan Khatam al-Quran peringkat negeri

2026-03-15 - 05:43

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam al-Quran peringkat negeri di Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang, Kangar, baru-baru ini. PETALING JAYA: Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam al-Quran peringkat negeri melibatkan 1,089 peserta pada kali ini. Program diadakan di Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang, Kangar baru-baru ini merupakan anjuran Majlis Gabungan Persatuan Wanita Negeri Perlis (NCWO Perlis) dengan kerjasama Pertubuhan Khidmat Wanita Negeri Perlis (Perwanis) serta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI). Aktiviti dimulakan dengan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran, diikuti sesi tadabbur yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al-Hafiz. Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 22 orang peserta tadarus serta enam orang imam dan bilal masjid. Pada majlis itu, anakanda puteri sulung Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga merupakan penaung program turut menzahirkan tahniah kepada 47 masjid yang berjaya menganjurkan 78 kumpulan tadarus di seluruh Perlis pada tahun ini. Majlis terbabit bukan hanya sebagai wadah memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran, malah turut menyemarakkan semangat ukhuwah dan kebersamaan masyarakat. Ia juga menjadi usaha dalam memartabatkan syiar Islam serta mengimarahkan institusi masjid di negeri berkenaan.

Share this post: