Raja Muda Perlis serikan sambutan Chap Goh Meh
2026-03-04 - 09:34
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke sambutan Chap Goh Meh DUN Indera Kayangan. (Gambar Istana Arau) PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan hadir menyantuni masyarakat Tionghoa sempena Sambutan Chap Goh Meh DUN Indera Kayangan. Majlis itu dianjurkan Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis bagi menyemarakkan sambutan Chap Goh Meh serta mengeratkan jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Turut hadir Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim dan Adun Indera Kayanga Gan Ay Ling. Sempena majlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut menyempurnakan simbolik perasmian dengan menggaul ‘Lao Shang’, sebagai tanda sokongan terhadap perpaduan masyarakat. Sambutan itu diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk pancaragam, tarian bunga klasik Cina, persembahan Chenshi Taichi, serta gendang Ethereal. Gan berkata kehadiran Raja Muda dan Raja Puan Muda menunjukkan keprihatinan institusi Raja terhadap rakyat pelbagai kaum di negeri ini. “Kunjungan Tuanku berdua bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya menjadi simbol hubungan erat antara istana, kepimpinan negeri dan rakyat,” katanya.