TheMalaysiaTime

Raja Muda Perlis santuni mangsa kebakaran, serah bantuan awal

2026-03-25 - 08:41

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail menyantuni mangsa kebakaran di Taman Kemajuan, Kangar. (Gambar MAIPs) PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni mangsa kebakaran di Taman Kemajuan. Baginda turut menyampaikan salam takziah daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, kepada keluarga yang terlibat dalam insiden berkenaan. Dalam kunjungan itu Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Sumbangan kepada lima keluarga terjejas bertujuan membantu meringankan beban segera mangsa, khususnya dalam menguruskan keperluan asas selepas kejadian. Baginda turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan di kediaman masing-masing, termasuk memastikan sistem pendawaian elektrik dan penggunaan peralatan serta bahan mudah terbakar sentiasa dalam keadaan terkawal. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor yang turut mengiringi lawatan itu menyarankan orang ramai mendapatkan perlindungan takaful kebakaran. Beliau berkata perlindungan itu kini mudah diperoleh dan boleh membantu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku bencana tidak dijangka.

Share this post: