TheMalaysiaTime

Raja Muda Perlis rai kanak-kanak sindrom down

2026-03-14 - 01:13

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil memasak bubur lambuk bersama kanak-kanak sindrom down. (Gambar MAIPs) PETALING JAYA: Seramai 25 kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis menyertai program memasak bubur lambuk sempena Ramadan di Masjid Al Mubarak, Kampung Tasoh, Padang Besar. Program itu dianjurkan oleh Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis dengan kerjasama Kariah Masjid Al Mubarak, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta beberapa NGO tempatan termasuk ASTRA, PESONA, Pop Yeh Yeh dan Wisdom Outreach Centre. Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta puteri kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Inisiatif berkenaan bertujuan memupuk semangat kasih sayang, perpaduan komuniti serta memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa mempelajari kemahiran asas memasak. Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyertai simbolik mengacau bubur lambuk sebelum beramah mesra dengan kanak-kanak istimewa dan ahli kariah yang hadir.

Share this post: