Raja Muda Perlis berkenan saksi cerapan anak bulan tetap tarikh 1 Syawal
2026-03-20 - 07:41
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadiri Majlis Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1447H/2026M di Menara Pandang, Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis, semalam. PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil semalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Cerapan Rukyah Hilal Syawal 1447H/2026M di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis. Sempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan sesi pengesahan rukyah hilal bagi menetapkan tarikh 1 Syawal, selain menerima taklimat berkaitan data cerapan yang dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Perlis Mohd Khairani Md Yusop. Turut berangkat menghadiri majlis tersebut, Waris Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta puteri-puteri Raja Muda Perlis Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Keberangkatan keluarga diraja itu disambut Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis Maizura Shamsuddin. Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada esok, sebagaimana diisytiharkan dan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam. Penetapan tersebut adalah berdasarkan cerapan dan pengesahan Rukyah Hilal Syawal yang dilaksanakan di 29 lokasi cerapan rasmi seluruh negara, termasuk Menara Pandang, Masjid Terapung Al-Hussain.