TheMalaysiaTime

Rahsia kelazatan hidangan di sebalik rempah ‘kasih sayang’ Wawasan 20

2026-03-20 - 03:10

M Paneerselvam dan A Janaki mengusahakan perniagaan sejak lebih 40 tahun tetapi serius dalam penyediaan rempah basah pada 2019. KAJANG: “Mahu masak apa, berapa kilo ayam dan daging?” Pertanyaan ringkas namun penuh bermakna itu sering kali menjadi pembuka bicara di sebuah sudut sibuk di Pasar Kajang. Bagi pelanggan setia, soalan daripada M Paneerselvam dan isterinya, A Janaki, bukan sekadar urusan jual beli, tetapi jaminan hidangan lazat untuk memastikan sambutan istimewa seperti Aidilfitri menjadi kenangan terindah buat keluarga. Beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri, suasana di Kedai Wawasan 20 Rempah Basah bertukar menjadi medan ‘perjuangan’ yang harum dengan aroma rempah-ratus yang segar dan menyelerakan. Tidak keterlaluan jika dikatakan, barisan pelanggan yang setia menunggu boleh mencecah sehingga 50m panjang, merentasi deretan kedai ikan berhampiran. Walaupun terpaksa menunggu, pelanggan tetap setia kerana mereka tahu, rahsia kelazatan rendang dan kari yang bakal dihidangkan terletak pada kualiti rempah disediakan Janaki atau lebih mesra dipanggil ‘Aunty Jenny’. Kedai ini bukanlah setahun jagung, ia menjadi sebahagian daripada nadi penduduk Kajang sejak 43 tahun lalu, membuktikan keteguhan sebuah perniagaan keluarga. Uniknya, kehebatan rempah basah mereka bukan sahaja terletak pada ‘resipi rahsia’, tetapi pada kemesraan pasangan suami isteri ini yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu memasak. Paneerselvam menceritakan, isterinya sering dihubungi pelanggan melalui telefon semata-mata untuk bertanyakan teknik memasak yang betul menggunakan rempah itu. Bagi mereka, panggilan itu bukanlah gangguan, sebaliknya kepercayaan tulus daripada pelanggan untuk menyediakan hidangan yang bakal mengeratkan hubungan seisi keluarga. “Saya anggap itu satu penghormatan. Memasak bukan sekadar mencampurkan bahan, tetapi ia adalah pengikat kasih sayang dalam sesebuah rumah tangga,” kata Paneerselvam. Rempah basah dijual M Paneerselvam dan A Janaki antara yang menjadi pilihan penduduk Kajang pada musim perayaan. Nama kedai sempena Wawasan 2020 Nama kedai mereka juga mempunyai cerita tersendiri; asalnya suami isteri ini mahu menamakan kedai itu ‘Wawasan 2020’ sempena visi diperkenalkan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ke-4. Namun, kerana nama ‘2020’ telah didaftarkan kerajaan, mereka diminta mencari nama lain dan dengan kreatif memilih angka ’20’ supaya tetap mempunyai kaitan dengan inspirasi asal itu. Di sebalik kesibukan itu, Paneerselvam sebenarnya bukanlah calang-calang orang; beliau adalah naib presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) dan bekas jurulatih kebangsaan. Meskipun tangannya biasa dengan seni mempertahankan diri, setiap hujung minggu beliau tetap turun ke pasar untuk membantu isteri tercinta menguruskan kedai. “Aunty sangat rajin, masakannya sedap. Setiap hari dia akan masak macam-macam, daripada rendang hingga sambal udang,” puji Paneerselvam dengan nada bangga dan penuh cinta memandang isteri kesayangan. Beliau mengakui beruntung memiliki isteri yang pandai memasak, malah ingin berkongsi rasa kebahagiaan itu dengan orang lain melalui rempah dihasilkan isterinya. A Janaki teliti dalam pembuatan rempah basah untuk memastikan pelanggannya puas. Rempah hasil minat masakan Janaki mula menceburi bidang rempah basah secara serius pada 2019, walaupun premis runcit asal mereka dibuka sejak 1983 lagi. “Dahulu suami saya tak bagi buat rempah basah sebab dia risau saya penat, dia suruh buka kedai runcit sahaja. Tapi saya memang minat memasak,” cerita Janaki sambil tersenyum. Minat yang mendalam itu diterjemahkan ke dalam pelbagai jenis rempah, bermula daripada kari ayam, daging, sup, kuzi, gulai kawah, sehinggalah ke nasi beriani serta asam pedas. Maklum balas diterima sangat positf, ada pelanggan yang mengakui rasa rempahnya mengingatkan mereka kepada masakan ibu yang mereka nikmati ketika di zaman membesar 30, 40 tahun dahulu. Malah, kualiti rempah Janaki telah merentasi sempadan, dengan pesanan sampai ke Australia, London, bahkan sejauh Paris bagi pelanggan yang merindui cita rasa tanah air. “Ada pelanggan yang bawa pes rendang ke Australia. Mereka sanggup ‘seal’ betul-betul kerana di sana susah nak dapat rasa yang asli macam di sini,” katanya. Keaslian itu datang daripada proses pembuatan yang teliti, Janaki menyangai sendiri rempah-ratus seperti ketumbar dan jintan sebelum dikisar tanpa campuran tepung. Menjelang Aidilfitri, penggunaan bahan mentah meningkat mendadak, dengan jumlah cili dan bawang yang diproses mencecah berkali ganda berbanding hari biasa. Kini, tradisi itu diteruskan dengan bantuan anak-anak dan pekerja mereka, memastikan setiap pelanggan pulang dengan senyuman dan bungkusan rempah yang penuh dengan kasih sayang. Wawasan 20 Rempah Basah bukan sekadar premis perniagaan, tetapi bukti keikhlasan dalam setiap adunan mampu menyatukan hati manusia di pagi Syawal yang penuh warna.

Share this post: