TheMalaysiaTime

Rafizi gesa kerajaan umum dapatan pasukan petugas siasat Azam

2026-03-13 - 09:14

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata spekulasi akan terus berlegar selagi dapatan pasukan petugas khas itu tidak didedahkan kepada umum. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggesa kerajaan mendedahkan dapatan pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. Rafizi berkata pelbagai spekulasi timbul mengenai kesimpulan siasatan itu dan khabar angin akan terus tersebar selagi hasil siasatan berkenaan tidak didedahkan kepada umum. “Rakyat Malaysia berhak mengetahui dapatan siasatan ini. Jika nilai saham itu benar-benar mencecah RM14 juta seperti didakwa, perkara ini tidak sepatutnya hanya dianggap sebagai pelanggaran peraturan perkhidmatan awam semata-mata. “Ia menimbulkan persoalan mengenai sumber kekayaan dan pendapatan Azam kerana jumlah itu tidak sepadan dengan pendapatan seorang penjawat awam kanan,” katanya dalam kenyataan. Bekas menteri ekonomi itu berkata SPRM lazimnya mengambil tindakan penguatkuasaan apabila menyiasat individu yang mempunyai sumber kekayaan mencurigakan, termasuk membekukan akaun bank dan mengarahkan pengisytiharan aset. “Justeru, saya menggesa kerajaan segera mengumumkan dapatan siasatan pasukan petugas khas itu secara terperinci bagi menghentikan spekulasi,” katanya. Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini berkata Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti laporan pasukan petugas khas berkaitan dakwaan tersebut. Beberapa pemimpin DAP, termasuk Menteri Loke Siew Fook dan Gobind Singh Deo, turut berulang kali menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam. Agensi berita Bloomberg sebelum ini melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham (1.7%) dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu, yang didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024. Azam bagaimanapun menegaskan transaksi tersebut telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu. Beliau juga memfailkan saman terhadap Bloomberg berhubung laporan itu dan menuntut ganti rugi RM100 juta.

Share this post:
Rafizi gesa kerajaan umum dapatan pasukan petugas siasat Azam | TheMalaysiaTime