Rafizi ‘amat gembira’ jika dipanggil SPRM
2026-03-08 - 06:33
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini menuduh SPRM menjalankan siasatan bermotifkan politik terhadapnya. SHAH ALAM: Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata beliau berasa ‘amat gembira’ jika dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bantu siasatan agensi itu berkait satu perjanjian kerajaan dengan sebuah firma asing. Rafizi berkata beliau ‘pelik’ kerana SPRM belum menghubungi beliau dan beranggapan kemungkinan agensi itu masih mengumpul bukti. “Selagi SPRM tak panggil saya, maksudnya mereka masih belum ada bukti kukuh untuk panggil saya,” katanya kepada wartawan selepas program Ayuh Malaysia. “Sekiranya saya dituduh mengelirukan Jemaah Menteri atau cuai, SPRM kena ada bukti itu sebelum nak ambil kenyataan saya. “Jika benar terdapat sesuatu untuk disiasat atau didakwa, saya sudah lama ditahan reman.” SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings, yang ditandatangani pada Mac tahun lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini memaklumkan, kenyataan daripada 12 saksi, termasuk seorang bekas menteri, telah dirakam. Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada individu tersebut ialah Rafizi. Seorang pembantu Rafizi sebelum ini menyatakan bahawa Ahli Parlimen Pandan itu masih belum dipanggil oleh SPRM. Rafizi sebelum ini menuduh SPRM menjalankan siasatan bermotifkan politik terhadapnya. Ahli Parlimen PKR itu berkata, tuduhan terhadapnya berkisar sekitar dua dasar utama kerajaan, iaitu Program Visi Silikon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menurutnya telah melalui pelbagai peringkat kelulusan kerajaan, termasuk pengesahan Jemaah Menteri. Program Visi Silikon membabitkan kerjasama antara kerajaan dengan Arm Holdings bagi menghasilkan cip semikonduktor pertama negara, sementara NETR menggariskan sasaran peralihan tenaga negara sehingga 2050, yang melibatkan pelaburan besar dalam industri hijau. SPRM juga mengeluarkan notis awam meminta James Chai bekas pembantu Rafizi di Kementerian Ekonomi, untuk membantu siasatan tersebut. Chai kini sedang bertugas di United Kingdom.