Radzi nafi mahu jadi ketua pembangkang, anggap fitnah
2026-03-02 - 09:14
Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin menganggap dakwaan beliau menawarkan diri sebagai ketua pembangkang adalah fitnah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin nafi dakwaan menawarkan diri mengambil alih jawatan ketua pembangkang menggantikan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin. Radzi yang juga naib presiden Bersatu menganggap dakwaan itu sebagai fitnah. Katanya, ketika bertemu Presiden PAS Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu di Terengganu baru-baru ini, hal pencalonan namanya tidak pernah dibangkitkan. “Ini merujuk kepada tuduhan bahawa ketika bertemu Hadi di Rusila pada 18 Feb 2026, saya telah menawarkan diri sebagai calon ketua pembangkang mewakili Bersatu. “Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak pernah menyebut nama saya sebagai calon ketua pembangkang mewakili Bersatu dalam pertemuan tersebut,” katanya di Facebook. Radzi berkata, fakta dan kebenaran berkaitan pertemuan itu boleh disemak melalui beberapa pimpinan iaitu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris. “Bahkan boleh disahkan juga dengan Hadi sendiri. Di bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan agar mereka yang menyebarkan fitnah ini insaf,” katanya. Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata Hamzah masih diiktiraf sebagai ketua pembangkang kerana Perikatan Nasional belum memaklumkan perubahan rasmi kepadanya. Takiyuddin turut dipetik berkata, Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang setakat ini. Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang selepas pembentukan kerajaan perpaduan pada 2022, hasil pencalonan PAS walaupun Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika itu masih pengerusi PN.