TheMalaysiaTime

Pusat data hijau pertama Malaysia bertaraf platinum pacu AI

2026-03-11 - 14:54

Bangunan 1 iaitu fasiliti pertama ZData Technologies yang telah siap di pusat data Gelang Patah. JOHOR BAHRU: Sebuah pusat data skala mega (hyperscale) berkeupayaan AI di Gelang Patah, Johor, menjadi pusat data pertama di negara ini yang menerima pensijilan Platinum GreenRE sementara bagi reka bentuk air, tenaga, dan kelestarian. Dibangunkan oleh ZData Technologies, pusat data setaraf Tahap 3+ ini menerima penarafan Platinum, iaitu penarafan kelestarian tertinggi dalam skim GreenRE, yang diperkenalkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda). “Kami amat bangga menjadi satu-satunya pusat data di negara ini dengan pencapaian ini,” kata Yeo Yong Hwang, pengarah Computility Technology Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ZData yang beribu pejabat di China. Yeo menambah ZData komited pada prasarana digital lestari, yang membolehkan mereka memperolehi pensijilan ‘Malaysia Green Data Centre Recycled Water Certification’ pada bulan Ogos lalu. “Salah satu ciri kelestarian paling unik bagi fasiliti ZData adalah reka bentuk yang beroperasi menggunakan 100% air terawat, yang diproses melalui dua loji rawatan air khusus yang terletak berhampiran pusat data tersebut,” katanya pada sidang media. Walaupun operasi penyejukan secara semula jadi memerlukan air, penggunaan air terawat memastikan bekalan air bersih negeri tidak digunakan untuk tujuan penyejukan, sekali gus meminimumkan impak terhadap sumber air tawar tempatan. Pembangunan pusat data ZData sebahagian projek bernilai RM8 bilion di tapak seluas 15.4 hektar. Setakat ini, kira-kira 7.3 hektar telah dibangunkan, merangkumi Fasa 1 dan Fasa 2 projek tersebut. Fasa-fasa pembangunan selebihnya dijadualkan siap menjelang akhir 2027. Pada Selasa, ZData menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BGMC Energy Holdings Sdn Bhd dan reNIKOLA Holdings Sdn Bhd untuk program bekalan tenaga hijau berskala besar dan jangka panjang, di mana tenaga boleh diperbaharui dijana oleh ladang-ladang solar untuk fasiliti pusat data. “Program ini diunjurkan untuk membekalkan kira-kira 630,000 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun, dan dijadualkan bermula pada 2028,” kata Yeo. Adun Kota Iskandar, Pandak Ahmad, menyambut baik inisiatif kelestarian ZData, mengatakan ia selaras cita-cita Johor menjadi hab pusat data lestari. “Pembangunan pusat data menarik banyak pelaburan langsung asing (FDI), tetapi ini tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan komuniti setempat. Kerajaan negeri menyediakan rangka kerja dan garis panduan bagi memastikan prasarana digital lestari,” katanya. Setakat ini, Pandak berkata, kerajaan telah meluluskan 51 daripada 86 permohonan pusat data. Ramli Paiman, ketua Jawatankuasa Bertindak Penduduk mengenai Pusat Data, memuji inisiatif hijau ZData. Ketua Kampung Kampung Pulai, Abdul Rahman Halim, berkata pembangunan pusat data yang bertanggungjawab akan membolehkan komuniti setempat hidup bersama dengan fasiliti berteknologi tinggi secara harmoni.

Share this post: