TheMalaysiaTime

Pulang segera ke Malaysia bantu siasatan, SPRM beritahu James Chai

2026-03-06 - 11:23

James Chai ada menyatakan pegawai SPRM sepatutnya boleh menghubunginya melalui rakan atau bekas rakan sekerjanya jika mereka benar-benar tidak dapat menghubunginya. (Gambar SPRM) PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu James Chai, bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, untuk segera menghubungi pegawai penyiasat dan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan. SPRM berkata, beberapa percubaan telah dibuat pegawai penyiasat SPRM untuk menghubungi Chai, namun sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons atau membuat pengaturan untuk tampil ke Ibu Pejabat SPRM. “Sekiranya Chai berpendirian beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM, bukannya mengeluarkan pelbagai alasan di media massa sambil mengelakkan diri daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan. SPRM turut menyenaraikan nama pegawai penyiasat untuk dihubungi melibatkan Abdullah Sani A Latib (+60182868684), Hafidz Halim (+60175046503), Ahmad Rizal Samat (+6013433 4500), Farahani Fauz (+60113343 5523) atau Mohamed Ali Ahamed Ali (+6017300 3699). Menurut SPRM, menjadi tanggungjawab asas setiap warganegara memberi kerjasama apabila diperlukan untuk membantu sesuatu siasatan. Badan antirasuah itu juga menegaskan semua siasatan dijalankan secara profesional, bebas, dan berasaskan bukti, serta ‘tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang’. Pada Rabu, SPRM mengeluarkan notis pencarian awam terhadap Chai, yang merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Rafizi semasa beliau menjawat jawatan menteri ekonomi. Chai kini sedang bekerja di United Kingdom. Walaupun notis itu tidak memperincikan sebab Chai dipanggil, ia menyusuli siasatan baru-baru ini berhubung dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings yang ditandatangani pada Mac tahun lalu. Chai mengkritik notis pencarian berkenaan yang memaparkan alamat rumah zaman kecilnya, dengan menyifatkan ia sebagai melampau dan seolah-olah bertujuan bagi menggambarkannya sebagai seorang pelarian yang mempunyai sesuatu untuk disembunyikan. Beliau juga menyatakan, bahawa pegawai agensi tersebut sepatutnya boleh menghubungi beliau melalui rakan atau bekas rakan sekerjanya dalam kerajaan jika mereka benar-benar tidak dapat menghubunginya. Namun, SPRM menyatakan, pegawai penyiasatnya telah melakukan beberapa percubaan untuk berhubung sebelum notis itu dikeluarkan, malah seorang pegawai telah disekat oleh nombor telefon Chai di WhatsApp, pada 26 Feb. SPRM juga menyatakan cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan biasa sebagai tindakan penganiayaan adalah tidak wajar, dan Chai sepatutnya bekerjasama jika tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Share this post: