Puad dakwa pilihan raya datuk bandar KL berisiko dipengaruhi kartel, gengster
2026-02-02 - 05:26
KAPSYEN: Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata timbul kebimbangan calon tertentu akan mendapat sokongan kewangan dan rangkaian kumpulan gengster bagi memenangi pilihan raya datuk bandar. Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata timbul kebimbangan calon tertentu akan mendapat sokongan kewangan dan rangkaian kumpulan gengster bagi memenangi pilihan raya datuk bandar. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno memberi amaran cadangan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur boleh membuka ruang kepada pengaruh kartel dan kumpulan gengster. Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, untuk kementeriannya mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar perlu dipandang serius memandangkan Kuala Lumpur mempunyai banyak pusat hiburan. “Kuala Lumpur banyak pusat hiburan, pub, kelab malam, pusat urut dan kegiatan tidak bermoral. Banyak aktiviti ‘underworld’, kartel dan gengster. “Bukan sahaja pilihan raya itu akan dipengaruhi parti politik dan sentimen perkauman, tetapi juga kartel dan gengster,” katanya dalam kenyataan mengulas arahan Yeoh supaya kementeriannya mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur. Beliau berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan pilihan raya itu yang dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan. Yeoh menjelaskan struktur pentadbiran sedia ada membabitkan “terlalu banyak unit”, dengan ibu negara ditadbir seorang datuk bandar, Ahli Parlimen dan penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Puad berkata, timbul kebimbangan calon tertentu akan mendapat sokongan kewangan dan rangkaian kumpulan gengster bagi memenangi pilihan raya datuk bandar. “Bayangkan KL gengster guna duit dan rangkaian mereka untuk sokong calon tertentu. Pejabat datuk bandar tidak lagi bebas. Jika penjawat awam buat kesalahan, tindakan tatatertib boleh diambil. Tetapi, datuk bandar yang dipilih melalui pilihan raya kena tunggu penggal mereka tamat.” Justeru, beliau menggesa Umno membantah cadangan itu secara rasmi dan menubuhkan sekretariat khas bagi menyelaras maklum balas parti. Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, pula berikrar menolak dan menggagalkan rancangan memperkenalkan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur. Katanya, cadangan itu timbul susulan cubaan memperkenalkan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). “Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihan raya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini. “Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku.”