PTPTN raikan 100 anak yatim, asnaf sempena Syawal
2026-03-11 - 08:05
Anak-anak yatim dan asnaf yang menerima sumbangan pembukaan akaun Simpan SSPN Prime bersama Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri). PETALING JAYA: Seramai 100 anak yatim dan asnaf diraikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi program ‘Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf 2026’ sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu. Dalam kenyataan, PTPTN berkata, program berlangsung di Hotel Royale Chulan, Damansara, itu bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi kegembiraan menjelang Aidilfitri. Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resorts Rosthman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid. Program yang dianjurkan sejak 2016 itu menjadi platform PTPTN untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik, khususnya anak yatim dan asnaf, agar mereka turut merasai kemeriahan membuat persiapan menyambut Syawal. Buat julung kali tahun ini, PTPTN menjalin kerjasama strategik dengan Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia bagi menjayakan program itu. Penerima-penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh dan Pertubuhan Kebajikan dan Pusat Jagaan Kasih Ehsan Sejati dibawa membeli-belah baju raya di Jakel Mall, Kuala Lumpur. Setiap penerima menerima set baju raya bernilai RM200 dan kuih raya bernilai RM40, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan PTPTN sebanyak RM24,000. Selain itu, Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia turut menyumbang RM5,000 melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime kepada kesemua penerima, dengan setiap seorang menerima RM50. Norliza berkata, PTPTN komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi menyokong kesejahteraan masyarakat dan pembangunan pendidikan negara. “Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan sambutan Aidilfitri para penerima, sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan terus berusaha mencapai kejayaan. “Pada masa yang sama, inisiatif ini juga bertujuan memupuk budaya menabung sejak awal sebagai persediaan demi masa depan pendidikan yang lebih terjamin,” kata Norliza.