PRU16 uji kesepakatan parti tempatan dan nasional di Sabah
2026-03-21 - 13:00
Pentadbiran kerajaan Sabah diketuai Hajiji Noor stabil, atas kerjasama membabitkan parti tempatan dan nasional. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: PRU16 bakal menguji kesepakatan parti-parti di Sabah, sekalipun model parti tempatan menerajui kerajaan dengan sokongan ‘rakan nasional’ dikatakan formula kerjasama paling sesuai. Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) percaya rakyat Sabah akan nampak keberhasilan kerjasama antara parti tempatan dan ‘rakan nasional’, penganalisis bagaimanapun memberi amaran perebutan kerusi Parlimen mengundang risiko perpecahan. “Jika parti nasional kekal ‘rigid’ (keras kepala) dengan tuntutan kerusi, ia berisiko mencetuskan perpecahan dalaman dan melemahkan peluang gabungan mengekalkan kerajaan perpaduan selepas PRU16,” kata Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah. Baru-baru ini, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka bekerjasama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri ketika ini, bagi menghadapi PRU16. Syahruddin Awang Ahmad. Menurutnya, langkah itu bagi memastikan kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas PRN itu dikekalkan. Selain PH, GRS disokong Barisan Nasional, wakil rakyat bebas, Upko, Parti Solidariti Tanah Airku, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat. Ketua PH Sabah, Mustapha Sakmud, percaya rakyat Sabah kelak akan memilih parti yang mampu bekerjasama dengan baik. Mustapha Sakmud. “Walaupun ada beberapa lagi parti tempatan, rakyat akan melihat yang mempunyai kerjasama baik dengan parti nasional dan boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat,” katanya dalam temu bual dengan FMT. Syahruddin bagaimanapun mengingatkan pilihan raya peringkat Parlimen dijangka berlaku ketika penggal DUN masih berjalan, iaitu sehingga 2030, maka pergelutan kerusi kelak akan memberi kesan pada kerjasama di peringkat negeri. “Jika tidak diurus dengan baik, kerjasama ini boleh tergugat dan membuka ruang kepada parti lawan seperti Warisan untuk mengambil kesempatan,” katanya. Pada PRU15, BN menang tujuh Parlimen manakala GRS (6), PH (5), Warisan (3), bebas (2) dan masing-masing satu dimenangi KDM serta Perikatan Nasional. Dalam konteks Sabah yang cenderung kepada parti tempatan, Syahrudin berkata parti-parti nasional wajar bertolak ansur dalam rundingan kerusi. “Ini penting demi menyesuaikan strategi parti masing-masing dengan realiti politik tempatan, GRS sebagai parti dominan mempunyai pengaruh besar di kalangan pengundi Sabah,” katanya.