TheMalaysiaTime

Proses rayuan KJ sertai semula Umno tak lama, kata Zambry

2026-03-16 - 13:24

Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan kembali ke Umno kepada Presiden parti Zahid Hamidi, semalam. (Gambar Facebook) PUTRAJAYA: Proses permohonan rayuan Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu dijangka tidak akan mengambil masa yang lama, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Zambry Abdul Kadir. Zambry berkata rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti dan Naib Presiden Khaled Nordin telah dilantik sebagai pengerusi teknikal bagi menilai proses itu. “Saya lihat pertemuan semalam (Presiden Umno Zahid Hamidi dan Khairy) itu telah memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-duanya dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni. “Saya yakin ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ini merupakan satu proses yang cepat, kerana ia adalah merupakan idea daripada presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa balik bekas-bekas ahli,” katanya. Beliau berkata kepada pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani yang dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Zahid hari ini memaklumkan telah menerima surat rayuan daripada bekas ketua Pemuda Umno itu untuk kembali menyertai parti itu semalam. Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat daripada parti pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas PRU15. Sementara itu, Zambry memuji kesetiaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu terhadap Umno meskipun menghadapi banyak kesukaran dalam arena politik. “Sejak dari awal sehinggalah sekarang, walaupun beliau (Khairy) menghadapi masalah, beliau tetap berada dalam Umno dan jiwanya adalah jiwa Umno. “Saya juga mengucapkan terima kasih juga kepada presiden Umno itu sendiri yang telah membuka ruang dengan idea beliau untuk membentuk ‘Rumah Bangsa’, mengembalikan mereka semula,” katanya.

Share this post: