TheMalaysiaTime

Projek Sama kecam MP ‘tak bertanggungjawab’ pilih kecuali undi

2026-03-03 - 14:34

Ahli pengasas Projek Sama, Thomas Fann berkata, Ahli-ahli Parlimen harus utamakan kehadiran dan pengundian di Dewan Rakyat apabila RUU perlu diputuskan. PETALING JAYA: Sebuah kumpulan masyarakat sivil mengkritik Ahli-ahli Parlimen yang berkecuali daripada mengundi rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, selain Ahli Parlimen yang tidak hadir di Dewan Rakyat semalam, melabel mereka sebagai ‘tidak bertanggungjawab’. Projek Sama berkata, Ahli-ahli Parlimen tersebut menafikan negara daripada manfaat pengehadan tempoh jawatan perdana menteri, termasuk memastikan kuasa tidak tertumpu di tangan segelintir pihak bagi mencegah penyelewengan dan rasuah. “Kami menyeru pengundi-pengundi kawasan yang diwakili oleh Ahli-ahli Parlimen ini agar mempertimbangkan dengan serius keputusan mereka ketika mengundi pada PRU16,” kata kumpulan itu dalam kenyataan. Semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan. Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Dilaporkan kemudian bahawa lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU itu. Lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir terdiri daripada Hishammuddin Hussein (Sembrong); M Saravanan (Tapah); Larry Sng (Julau); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Henry Sum Agong (Lawas); Suhaimi Nasir (Libaran); Riduan Rubin (Tenom); dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan (Keningau). Syed Hussin kemudian memberitahu FMT, beliau memilih tidak hadir kerana tidak bersetuju dengan undang-undang yang dicadangkan itu dan mahu ‘Anwar Ibrahim kekal menjadi perdana menteri selama mungkin’. Mengulas alasan Syed Hussin, Projek Sama berkata, jika Ahli Parlimen Bukit Gantang itu benar-benar menentang RUU itu atas dasar prinsip, beliau sepatutnya mengundi menentangnya, ‘bukan jadi pengecut dengan ponteng’. Ketika dihubungi, ahli pengasas Projek Sama, Thomas Fann berkata, Ahli-ahli Parlimen harus mengutamakan kehadiran dan pengundian di Dewan Rakyat apabila RUU perlu diputuskan. “Tapah (Saravanan) dan Julau (Sng) mengutamakan urusan peribadi mereka, sama ada ibadah atau hal peribadi lain, (mengatasi) RUU pindaan perlembagaan, (dan) mereka gagal menunaikan mandat,” katanya mengulas alasan yang diberikan oleh kedua-dua Ahli Parlimen itu atas ketidakhadiran mereka. Saravanan berkata, beliau menghadiri upacara keagamaan, manakala Sng berkata, beliau tidak sempat kembali untuk mengundi kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Projek Sama turut menggesa Putrajaya membentangkan semula RUU itu pada sesi Parlimen akan datang. Bagaimanapun, pembentangan semula tersebut perlu disertai kempen awam bagi mendapatkan pandangan masyarakat melalui perbahasan yang giat dan pertimbangan yang menyeluruh. “Tanpa sokongan awam, merit reformasi berimpak tinggi ini boleh dengan mudah ditolak demi kepentingan partisan dan keuntungan politik,” tambah kumpulan tersebut.

Share this post: