Projek direka untuk kurangkan gangguan, kata syarikat gelanggang ‘pickleball’
2026-03-06 - 23:43
Jarak antara kemudahan dan kawasan perumahan lebih daripada cukup untuk mengurangkan bising, kata Pengarah Innocurve, R Kamran. (Gambar ilustrasi artis) PETALING JAYA: Syarikat di sebalik cadangan membina gelanggang ‘pickleball’ di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mempertahankan projek tersebut, menyatakan kemudahan itu direka untuk meminimumkan gangguan sambil menyediakan ruang rekreasi buat komuniti setempat. Pengarah Innocurve Sdn Bhd, R Kamran, berkata gelanggang tersebut sebahagiannya akan ditutup untuk mengawal bunyi. “Terdapat jarak kira-kira 12m atau 40 kaki antara kawasan perumahan dan gelanggang, jarak yang lebih daripada cukup untuk mengurangkan bising. Selain itu, akan terdapat jarak lapan hingga 10 kaki mengelilingi keempat-empat gelanggang. “Gelanggang ini tidak terbuka sepenuhnya. Ketinggian keseluruhan struktur adalah 20 kaki, dengan 10 kaki pertama ditutup dengan pagar dan jaring, yang membantu mengawal bola dan sebahagian bunyi. “Bahagian 10 kaki ke atas akan ditutup dengan pelapik logam (metal cladding), yang akan menyekat dan menyerap lebih banyak bunyi daripada keluar dari kawasan gelanggang,” katanya kepada FMT. Kamran berkata kemudahan yang dirancang di Jalan Burhanuddin Helmi itu akan memberi penduduk akses kepada sukan yang sedang berkembang pesat tanpa perlu keluar dari kawasan kejiranan, menegaskan projek dicadangkan itu akan menjadi yang pertama di TTDI. “TTDI patut mempunyai kemudahan ‘pickleball’ tersendiri. Setakat ini, gelanggang yang dicadangkan akan menjadi satu-satunya di kawasan tersebut, dibina khusus untuk komuniti setempat berhubung, bermain, dan kekal aktif tanpa perlu meninggalkan kawasan kejiranan mereka.” Cadangan itu dibantah sebahagian penduduk TTDI, yang bimbang tentang kemungkinan gangguan bunyi semasa bermain dan kesesakan akibat kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan. Minggu lalu, Khairudin Rahim, jurucakap persatuan penduduk, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah henti kerja susulan bantahan pihak persatuan. Tapak yang dicadangkan untuk membina gelanggang ‘pickleball’ di TTDI. Tempat letak kenderaan, tanah komersial Kamran beri jaminan kepada penduduk bahawa kawasan kejiranan itu tidak akan menghadapi kesesakan lalu lintas, menyatakan kemudahan tersebut akan dilengkapi 21 petak letak kenderaan untuk pelanggan, melebihi keperluan minimum ditetapkan DBKL. “Pendekatan proaktif ini bertujuan mengelakkan kenderaan daripada melimpah ke jalan-jalan perumahan, yang lazimnya suatu kebimbangan apabila bercakap tentang kemudahan rekreasi,” katanya. Beliau menambah tapak projek tersebut terletak di atas tanah yang diwartakan untuk kegunaan komersial dan berhampiran bangunan komersial sedia ada yang menempatkan bar, stesen minyak, gimnasium, kafe, dan pejabat. Kamran juga menyatakan tapak tersebut sebelum ini menempatkan premis makanan dan minuman yang mempunyai banyak gerai penjaja, aktiviti yang menghasilkan bunyi yang ketara sehingga lewat malam. “Ini menunjukkan bahawa ruang rekreasi dan kehidupan kediaman boleh wujud bersama secara harmoni,” tambahnya.