TheMalaysiaTime

Profesional pikul amanah gali kubur walaupun ketika raya

2026-03-22 - 23:20

Sukarelawan dan penduduk sering bergotong royong untuk memastikan kebersihan Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam. KUALA LUMPUR: Pada waktu pejabat, mereka mungkin segak berkemeja menguruskan transaksi bank, menghadap pelan kejuruteraan, berunding hartanah bernilai jutaan ringgit atau menguruskan hal ehwal penjaja di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Namun, sebaik sahaja mendapat panggilan ‘fardu kifayah’ tiba, status kerjaya itu ditanggalkan sebaliknya diganti dengan cangkul dan keringat untuk menggali kubur. Itulah realiti sekumpulan sukarelawan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam yang khidmatnya ditagih tanpa mengira masa termasuk sewaktu Aidilfitri. Asam garam itu diakui Yusman Nordin,52, kakitangan DBKL yang turut menjadi ketua kumpulan itu dibantu sembilan sukarelawan antaranya jurutera, pegawai bank dan perunding hartanah. Yusman Nordin. “Lepas solat raya pun, kalau masjid beritahu ada kematian kami terus bersiap. Kadang-kala belum sempat buka baju Melayu terus ke kubur kerana urusan jenazah perlu disegerakan. “Pernah ketika sedang makan hidangan raya dapat panggilan. Saya minta maaf kepada emak, isteri dan anak-anak selepas itu terus pergi ke kubur. “Mereka faham kerana ini tanggungjawab fardu kifayah,” katanya kepada FMT. Mula berkhidmat sejak 2010, kerja sukarelawan itu digerakkan untuk memastikan tanah perkuburan terbabit sentiasa terurus selain urusan fardu kifayah yang dituntut agama sentiasa lancar. Menurut Yusman, mereka mencari sendiri dana untuk menguruskan kawasan perkuburan itu selain dibantu pengurusan Masjid Al-Ikhlasiah dan Masjid Al-Khadijah serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Jelasnya, perbelanjaan lazimnya meliputi membeli peralatan serta kelengkapan penyelenggaraan dan mereka kini sedang berusaha menyediakan tapak baharu memandangkan lot sedia ada semakin penuh. Yusman menyifatkan kerja menggali kubur di kawasan dipenuhi batu, besi dan konkrit itu sebagai mencabar kerana memerlukan tenaga serta tempoh panjang. “Kadang-kala bila gali keluar pula air, terpaksa cari tempat lain,” katanya sambil menceritakan kawasan itu pernah dilanda tanah runtuh selepas hujan pada 2021 yang merosakkan kira-kira 20 kubur. Namun di sebalik kepayahan fizikal dan tanpa habuan wang ringgit, Yusman berkata segala kepenatan itu hilang sebaik melihat wajah waris lega melihat keadaan tanah perkuburan itu yang tersusun. “Kami tidak minta balasan besar. Cukuplah masyarakat mendoakan kami sihat supaya dapat terus melakukan kerja fardu kifayah ini,” katanya. Menurutnya, pengalaman menguruskan tanah perkuburan turut membuka mata tentang sisi kemanusiaan yang jarang dilihat masyarakat. “Ada juga yang datang membantu daripada golongan penagih dadah, mereka kerap datang dan lama-kelamaan dapat tinggalkan tabiat lama. “Dari situ kita belajar walaupun orang nampak buruk dari satu sisi, mereka sebenarnya ringan tulang untuk membantu,” katanya.

Share this post: