PRN Johor: PAS terbuka ‘jajaran baharu’, Pemuda Umno tegas pertahan 40 DUN
2026-03-08 - 15:14
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mazri Yahya, berkata PAS sedia berdepan PRN dan PRU serentak, dengan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros persoal gesaan PH Johor untuk disekalikan PRN dan PRU atas alasan ‘jimat belanja’. PETALING JAYA: PAS Johor terbuka menilai kemungkinan jajaran politik baharu jika kerjasama sedia ada berlaku masalah, kata Timbalan Pesuruhjaya Dr Mazri Yahya. Katanya, politik sentiasa bersifat dinamik meskipun berpandangan Perikatan Nasional (PN) telah membentuk ‘blok politik yang kuat’. “Sekiranya berlaku sebarang masalah dalam kerjasama sedia ada, PAS tetap terbuka menilai kemungkinan jajaran politik baharu yang lebih sederhana dan tidak ekstrem demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat terus terpelihara,” katanya kepada FMT. Pada PRN Johor lalu, PAS menang satu sahaja kerusi di DUN Maharani menerusi Abdul Aziz Talib, manakala tidak mempunyai kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15. Katanya, soal sama ada PRN Johor atau PRU perlu dilaksanakan serentak bukan perkara pokok susulan cadangan Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan rakyat untuk mengundi. “PAS sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Jentera PAS sentiasa siap siaga untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi serta menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat Johor.” Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, mempersoalkan gesaan PH Johor untuk disekalikan PRN dan PRU kerana perkara sama tidak dilakukan di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan sebelum ini. “Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan bawah PH tak bubar sekali? PRN negeri berkenaan dibuat berasingan dengan PRU15. Tak pula timbul soal jimat belanja. “Apa pun cadangan mereka, Umno dan BN Johor tetap sentiasa sedia menghadapi pilihan raya termasuk akan bertanding dan mempertahankan semua kerusi yang telah dimenangi dalam pilihan raya lalu,” katanya. Pada PRN Johor lalu, Barisan Nasional menang 40 kerusi, dengan PH (12), Perikatan Nasional (3), dan Muda (1).