TheMalaysiaTime

PRN Johor: BN mahu pertahan 40 kerusi, baki dirunding jika ada kerjasama

2026-03-14 - 02:13

Abdul Halim Suleiman berkata belum ada keputusan sama ada BN akan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding solo. KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor berhasrat mengekalkan status quo dengan mempertahankan semua 40 kerusi dimenanginya pada PRN 2022 sekiranya menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH). Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman berkata baki 16 kerusi DUN akan dirundingkan dengan parti yang mungkin bekerjasama dengan BN pada pilihan raya negeri akan datang. Bagaimanapun, katanya BN juga bersedia bertanding di semua 56 kerusi DUN jika memutuskan untuk bergerak secara solo. “Sejak memenangi PRN 2022, jentera BN sudah bergerak melaksanakan manifesto dan tanggungjawab kepada rakyat, termasuk di kawasan yang kita tewas. “Jadi 40 kerusi yang kita menang itu kita akan pertahankan,” katanya kepada FMT. Abdul Halim berkata setakat ini belum ada keputusan sama ada BN akan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding sendirian kerana perkara itu bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti. Merujuk sasaran PKR Johor untuk bertanding 28 kerusi, Abdul Halim berkata keadaan itu memberi bayangan mungkin PKR tidak bekerjasama dengan BN sebaliknya bersama PH yang turut dianggotai DAP serta Amanah. “Jika mereka mahu bergerak solo, itu hak mereka. Bagi BN, kita sentiasa bersedia,” katanya. Dalam pada itu, Abdul Halim berkata prestasi baik Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memungkinnya sebagai calon berpotensi dijadikan ‘poster boy’ BN pada PRN akan datang. Onn Hafiz dilantik ke jawatan itu selepas PRN Johor ke-15 yang menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH (12), Perikatan Nasional (3) dan Muda (1). Tahun lalu, Onn Hafiz berkata PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya.

Share this post: