Premis Victor Chin diserbu, disiasat bawah Amla, kata Khalid
2026-03-16 - 11:24
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata siasatan tersebut dijalankan secara bersama antara polis dan Suruhanjaya Sekuriti. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Polis mengesahkan melakukan serbuan terhadap premis milik ahli perniagaan Victor Chin dan berkata serbuan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla). Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata, siasatan tersebut dijalankan secara bersama antara polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meneliti dakwaan salah laku korporat dan aktiviti pengubahan wang haram. “Memang betul siasatan kita teruskan di bawah Amla dan tindakan telah kita ambil di beberapa premis-premis yang berkaitan. Perkara ini masih dalam siasatan”, katanya dalam sidang media di sini. Beliau juga berkata satu sidang akhbar khas mungkin akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan perkembangan terbaharu kes itu sebaik sahaja proses siasatan selesai. Terdahulu, Chin menafikan sebarang penglibatan dalam gerakan memaksa pengambilalihan syarikat yang didakwa melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengarah eksekutif MMAG Holdings Bhd itu berkata penggunaan ‘taktik mafia’ untuk memaksa pengambilalihan memang wujud, tetapi beliau menegaskan dirinya sebagai mangsa, bukan pelaku. Sebelum ini, The Star melaporkan polis dan SC menyerbu premis milik Chin dan merampas beberapa barangan termasuk dua kereta, jam tangan mewah, pelbagai barang kemas, mata wang tempatan dan asing, serta dokumen. Premis tersebut terletak di Sungai Long dan Kemensah.