PPUM teliti dakwaan berkait kematian pesakit jantung
2026-03-20 - 05:20
Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata dakwaan tersebut sedang diteliti lanjut. PETALING JAYA: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata pihaknya masih meneliti dakwaan melibatkan seorang pesakit jantung yang meninggal dunia di fasiliti itu bulan lalu selepas menjalani angiogram. “Perkara ini sedang diteliti lanjut,” kata PPUM dalam e-mel kepada FMT malam tadi. Frankie Victor, 59, seorang ahli perniagaan dalam bidang eksport perabot, meninggal dunia pada 21 Feb, sehari selepas dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung. Beliau telah dipasang stent. Isterinya, Chanti berkata dia ada bertanya mengenai mesin oksigen yang disambungkan kepada suaminya ketika di hospital selepas beliau dipindahkan ke unit rawatan koronari. Bagaimanapun, seorang jururawat memberi jaminan kepadanya keadaan itu ‘normal’. Chanti turut mempersoalkan mengenai persetujuan untuk memberikan sedatif kepada Victor, serta mendakwa penjelasan diberikan oleh kakitangan hospital mengenai apa yang berlaku kepada suaminya berbeza-beza. “Saya menggesa pihak pengurusan PPUM dan jabatan kardiologi menjalankan siasatan penuh dan telus. “Saya harap penderitaan yang kami alami tidak berlaku pada keluarga lain. Suami saya berhak mendapat yang lebih baik,” katanya. Sementara itu, anak perempuan Chanti berkata pihak PPUM ada menghubungi ibunya melalui e-mel pada 18 Mac dan memaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan akan berikan perkembangan selepas ia selesai. “Apa yang kami mahukan hanyalah kebenaran,” katanya.