TheMalaysiaTime

‘Politik nilai’ baik tapi Amanah perlu bukti kekuatan, kata penganalisis

2026-03-11 - 00:14

Penganalisis berkata Amanah terperangkap dalam wacana elit yang tidak menyentuh denyut nadi pengundi luar bandar. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pendekatan ‘politik nilai’ Amanah berpotensi menarik sokongan pengundi baharu jika parti itu dapat ‘lari’ daripada sentimen terlalu bergantung kekuatan rakan gabungan, kata penganalisis. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Amanah dilihat semakin bergantung kepada kekuatan gabungan berbanding pengaruh sendiri dalam menarik sokongan pengundi. Katanya, Amanah, komponen bawah Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP yang dilihat lebih dominan dalam menarik sokongan pengundi terasnya. Menurutnya, retorik politik nilai sering ditekankan parti itu setakat ini lebih dilihat sebagai slogan yang belum diterjemahkan kepada kekuatan politik sebenar di lapangan. “Amanah semakin kelihatan seperti parti yang hidup atas ihsan gabungan, bukan kerana kekuatan sendiri. Retorik ‘politik nilai’ umpama slogan manis tanpa gigi,” kata pemerhati politik dari Global Asia Consulting kepada FMT. Beliau berkata, realiti politik Malaysia masih kuat dipacu sentimen identiti, khususnya berkait kaum dan agama, yang menurutnya sudah lama dimanfaatkan PAS melalui naratif perlindungan Melayu-Islam. “Amanah pula terperangkap dalam wacana elit yang tidak menyentuh denyut nadi pengundi luar bandar,” katanya. Zaharuddin berkata, keputusan PRU15 memperlihatkan jurang tersebut apabila Amanah hanya memenangi lapan kerusi Parlimen, manakala PAS mencatat kemenangan jauh lebih besar. “Angka itu bukan sekadar statistik, tetapi menunjukkan idealisme Amanah belum berjaya diterjemah menjadi kuasa politik,” katanya, menambah pendekatan politik nilai juga perlu disokong tawaran ekonomi, pendidikan serta strategi akar umbi yang jelas. Semalam, FMT melaporkan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Azli Yusof berkata Amanah mahu memposisikan pendekatan ‘politik nilai’ sebagai tawaran politik Islam yang lebih moden dan inklusif kepada pengundi Melayu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, walaupun Amanah berteraskan Islam, parti itu tidak memilih pendekatan ekstrem dan berhaluan kanan yang bersifat menghukum seperti sering dilihat dalam persaingan politik berasaskan agama. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula melihat pendekatan politik nilai masih berpotensi menarik sokongan jika dilaksanakan secara konsisten. Beliau berkata, walaupun politik negara banyak dipengaruhi sentimen kaum dan agama, pendekatan berasaskan nilai seperti politik matang, politik sejahtera atau konsep Madani tetap mempunyai ruang dalam masyarakat. Katanya, politik nilai boleh diterjemahkan melalui dasar yang memberi manfaat kepada rakyat seperti bantuan tunai kepada golongan miskin dan inisiatif kerajaan seperti BUDI95. “Itu juga sebahagian daripada politik nilai, iaitu memberi kembali kepada rakyat,” katanya. Mazlan berkata, cabaran utama Amanah adalah mendidik masyarakat supaya memahami konsep Melayu dihormati bukan melalui dominasi, tetapi melalui nilai positif dan sumbangan kepada masyarakat. Menurutnya, pendekatan itu memerlukan masa serta usaha pendidikan politik yang berterusan, termasuk menerapkan nilai murni melalui sistem pendidikan dan program kerajaan. “Jika konsisten membawa strategi jangka panjang seperti konsep Rahmah yang pernah diketengahkan Allahyarham Salahuddin Ayub, politik nilai ini boleh memberi impak besar kepada rakyat,” katanya.

Share this post: