TheMalaysiaTime

Polis tumpas sindiket curi, klon kenderaan

2026-03-18 - 06:11

M Kumar menunjukkan kereta yang dirampas dalam Op Lejang Mewah Klon di enam negeri dari 12 hingga 15 Mac. KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mencuri dan mengklon identiti kenderaan menerusi penahanan 12 individu termasuk dua wanita dalam operasi bersepadu di enam negeri, baru-baru ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata operasi dikenali sebagai Op Lejang Mewah Klon itu dijalankan dari 12 hingga 15 Mac hasil risikan hampir lima bulan. Beliau berkata suspek warga tempatan berusia antara 33 hingga 60 tahun itu berperanan sebagai pembeli dan penjual kenderaan klon, termasuk melalui rangkaian pengedar kereta terpakai. “Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam urusan jual beli kenderaan yang telah diklon. “Kita juga menahan seorang individu dikehendaki pihak berkuasa Singapura berhubung kes kecurian kenderaan dan telah menyerahkannya kepada negara itu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media. Menurut Kumar, polis merampas 12 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.1 juta, antaranya Toyota Vellfire, Estima, Altis, Harrier, Mazda, Honda City, Honda City Hatchback dan Toyota Camry. Daripada jumlah itu, empat kenderaan dipercayai dicuri dari Singapura sebelum diseludup masuk ke Malaysia. “Hasil pemeriksaan forensik mendapati lapan kenderaan telah diubah suai nombor casis dan enjin bagi menyembunyikan identiti sebenar. “Ada kenderaan yang nombor asalnya berjaya dikenal pasti, namun ada juga yang tidak dapat dipastikan identitinya,” katanya. Kumar berkata, sindiket menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa, termasuk mengambil identiti kenderaan yang rosak teruk (total loss), kemudian menukar nombor casis dan enjin serta memanipulasi maklumat pendaftaran supaya kelihatan sah. Kenderaan yang telah diklon kemudian dijual kepada orang awam melalui orang tengah atau pengedar kereta terpakai tanpa disedari pembeli. “Secara zahir, kenderaan ini kelihatan sah kerana mempunyai dokumen seperti geran JPJ, namun pemeriksaan terperinci mendapati identitinya telah diubah,” katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket termasuk dalang utama. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Dalam pada itu, Kumar menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli kenderaan terpakai, terutama jika harga ditawarkan jauh lebih rendah daripada pasaran. “Harga terlalu murah sepatutnya menimbulkan keraguan. Elakkan juga urusan jual beli secara tunai tanpa rekod lengkap atau pembiayaan melalui institusi kewangan,” katanya. Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan ‘total loss’ supaya memaklumkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelakkan identiti kenderaan disalah guna.

Share this post: