TheMalaysiaTime

Polis tumpas 3 sindiket, rampas dadah lebih RM180 juta

2026-03-09 - 08:34

Hussein Omar Khan menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan sekitar Lembah Klang. KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor dengan rampasan keseluruhan dadah bernilai RM180.8 juta. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Hussein Omar Khan berkata kes terbesar melibatkan rampasan lebih tiga tan methamphetamine bernilai kira-kira RM170 juta dalam ‘Op Chrysogaster’ pada 2 Mac lalu. Menurutnya, dua anggota sindiket berusia 28 dan 44 tahun ditahan dengan serbuan di Taman Gembira serta Taman Overseas Union Garden masing-masing menemui dadah seberat tiga tan. “Dadah dirampas ini boleh merosakkan 17 juta orang. “Sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember lalu dan mendapatkan bekalan dari kawasan Golden Triangle (babit Thailand, Myanmar Laos),” katanya pada sidang media. Dalam kes kedua, Hussein berkata polis menyerbu sebuah gudang dijadikan makmal haram memproses dadah di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya. Sebahagian dadah bernilai lebih RM180 juta dirampas dalam tiga operasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor. “Pemeriksaan menemui 214 tong cecair disyaki bahan kimia, tiga tong dan lima botol serbuk bahan kimia serta beberapa peralatan memproses dadah. “Sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober 2024 dan menggunakan identiti palsu untuk menyewa gudang dengan kadar RM6,500 sebulan,” katanya. Sementara itu, Hussein berkata polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 38 tahun dalam serbuan di Taman Sri Rampai pada 5 Mac lalu. “Hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori menemui 10 kotak mengandungi bunga ganja seberat 124.7kg dengan nilai dianggarkan RM10.2 juta,” katanya. Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Share this post: