TheMalaysiaTime

Polis tahan suspek kes bunuh, kerat wanita

2026-02-13 - 00:06

Setakat ini motif kejadian dipercayai akibat cemburu dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Syed Lot Syed Ab Rahman. PETALING JAYA: Polis berjaya menahan suspek dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, semalam. Suspek lelaki berusia 70an itu ditahan kira-kira 5 petang dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Bukit Aman; Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang. Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Syed Lot Syed Ab Rahman yang dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata setakat ini motif kejadian dipercayai akibat cemburu. “Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes dianggap berjaya diselesaikan. “Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, menurut Harian Metro. Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan. Terdahulu media melaporkan beberapa anggota badan yang dikerat-kerat dipercayai milik wanita berusia 40an ditemui dibuang di kawasan tapak pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar. Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada 6.30 pagi. Anggota badan itu ditemui oleh pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis. Pencarian lanjut oleh polis dengan bantuan pekerja lori sampah membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran pasar raya itu.

Share this post: