TheMalaysiaTime

Polis tahan perisik PGA bantu siasatan kes tembak komander AKPS

2026-03-12 - 05:54

Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak di susur masuk Masjid Muhajirin kira-kira 1km dari sempadan Malaysia-Thailand, bulan lalu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Polis menahan seorang anggota yang juga perisik Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi bantu siasatan kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu. Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, anggota berpangkat koperal itu bertugas di bahagian perisikan sempadan dan ditahan pada 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kedah, lapor Harian Metro. Katanya, suspek yang berusia 30an itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan dan kini dibebaskan dengan jaminan polis semalam. “Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik. Kita tahan dia bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap komander AKPS berkenaan. “Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda di Sungai Petani. Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan. Katanya, anggota itu juga didapati berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku. “Maklumat yang kita peroleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama-sama menghisap dadah. “Jadi apabila ada maklumat sedemikian, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan,” katanya. Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kaitan anggota berkenaan dengan sindiket yang disyaki terbabit dalam insiden tembakan itu. Dalam kejadian 5.40 pagi, 25 Feb lalu, Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali. Susulan kejadian itu, polis menahan 11 individu, termasuk seorang wanita warga Thailand dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis.

Share this post: